Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA: Lanjut waktu operasi klinik perlukan lebih banyak tenaga kerja
Diterbitkan:  Jan 7, 2023 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan tenaga kerja mencukupi bagi menjayakan tempoh lanjutan waktu bekerja di klinik kesihatan.

Inisiatif itu, kata mereka, adalah langkah baik ke arah mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik awam.

Namun, MMA menekankan bahawa inisiatif itu hanya berjaya dilaksanakan jika ada bilangan pegawai perubatan dan kakitangan pentadbiran yang mencukupi untuk waktu syif yang munasabah.

MMA juga menambah bahawa waktu bekerja yang dilanjutkan harus disediakan untuk penyakit akut yang tidak memerlukan penjagaan pakar.

Menurut mereka, banyak klinik awam sering dibebani dengan kerja pentadbiran selain daripada kerja klinikal mereka dan isu ini boleh menyumbang kepada perpindahan tenaga pakar ke luar negara.

“Tambahan waktu bekerja juga mungkin bermakna kakitangan perlu bekerja lebih lama dan ini mungkin bertentangan dengan usaha kementerian untuk menangani kelesuan dalam kalangan kakitangan penjagaan kesihatan,” kata Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan itu juga mencadangkan KKM perlu mendapatkan lebih ramai pengamal perubatan am (GP) swasta melalui kerjasama awam swasta.

“KKM akan dapat meluaskan jangkauannya melalui langkah sedemikian kerana 9,000 GP swasta diedarkan dengan baik di seluruh negara; yang mungkin lebih sesuai.

"Banyak kes kronik boleh dirujuk ke klinik swasta dan awam untuk membolehkan hospital awam merawat kemalangan dan kecemasan dengan lebih cekap dan berkesan," kata Dr Muruga.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggesa pengarah kesihatan negeri untuk mempertimbangkan semula jika melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan akan membantu mengurangkan kesesakan di bilik kecemasan hospital.

Lihat Komen
ADS