Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sedekah atau rasuah? - Hulur duit ketika p'raya satu sogokan - Bersih
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Pemberian wang tunai atau barangan berharga lain semasa pilihan raya masih merupakan satu bentuk rasuah, kata NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

NGO itu menggesa penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan segera membentangkan Akta Pembiayaan Politik di parlimen untuk mengawal pelanggaran sedemikian.

Bersih juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan tetap parlimen untuk meneliti sistem dan proses pilihan raya pada sidang Dewan Rakyat akan datang Februari depan.

"Walaupun menjadi budaya masyarakat di Malaysia untuk memberi sedekah, namun sekiranya pemberian wang itu diberikan ketika waktu pilihan raya maka pemberian wang tersebut boleh dianggap sebagai satu kesalahan rasuah pilihan raya," katanya pada satu kenyatan hari ini.

Badan pemantau pilihan raya itu merujuk pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa pengagihan wang tunai parti kepada pengundi semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah satu "sedekah" dan tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya.

Kata Abdul Hadi, peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Dalam pada itu, Bersih berkata kenyataan ahli parlimen Marang itu "bercanggah dengan seksyen 10 (penyogokan) di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengikut seksyen ini, sesiapa yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang wang atau apa-apa perkara lain yang bernilai sebelum, semasa, atau selepas pilihan raya boleh didakwa kerana melakukan kesalahan rasuah.

"Hal ini bermaksud sebarang pemberian wang atau barang bernilai kepada pengundi dalam tempoh pilihan raya untuk mempengaruhi mengundi atau tidak mengundi seseorang calon adalah satu bentuk rasuah.

"Tindakan tersebut tidak mengira sama ada dilakukan secara langsung oleh calon mahupun oleh pihak ketiga," kata NGO itu lagi.

Bersih menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu dan jika ada kes, pelaku perlu didakwa di mahkamah.

"Kenyataan Abdul Hadi Awang walaupun seperti mengakui bahawa ada pemberian wang yang diberikan pada PRU15 sebagai satu bentuk ‘sedekah’, namun mahkamah perlu diberikan ruang untuk memberi tafsiran mereka di dalam perkara ini," katanya.

‘Sedekah untuk undi itu korupsi’

Bersih selanjutnya menggesa kerajaan untuk tidak melengahkan lagi penggubalan akta pembiayaan dana politik di parlimen.

"Kerana hal tersebut boleh memberi persepsi bahawa kerajaan tidak serius menangani rasuah pilihan raya dan politik wang, selain wujud persepsi songsang bahawa sebarang penyiasatan terhadap kesalahan rasuah oleh pihak pembangkang adalah bermotifkan penganiayaan dan pemburuan politik (witch hunting) kerana Peguam Negara berkuasa mengawal pendakwaan," katanya.

Kenyataan Hadi telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai dan ahli politik lain.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan Tahun Baru Cina menyentuh mengenai amalan “komisen” dan “sedekah” dalam pilihan raya, berkata amalan itu jelas boleh merugikan negara dan masyarakat.

“Sedekah untuk amal jariah itu okey, tetapi sedekah untuk undi pada pilihan raya itu adalah korupsi,” katanya.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mempertahankan pendirian Abdul Hadi, berkata budaya derma telah menjadi “darah daging” dan sebati dalam perjuangan anggotanya.

“Bagi PAS dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam,” jelasnya.

Kata Razman lagi, menerusi kutipan derma pihaknya membangunkan kompleks PAS Perak serta pembelian pacuan empat roda untuk kegunaan Jabatan Amal PAS.

Lihat Komen
ADS