mk-logo
Berita
'Rehatkan Zahid, jawatan TPM beri tekanan tak wajar pada mahkamah'
Diterbitkan:  Jan 27, 2023 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya direhatkan daripada tugasnya sebagai timbalan perdana menteri, sementara menunggu keputusan kes mahkamah terhadapnya, kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ini kerana jawatan Zahid dalam kerajaan semasa dia menjalani prosiding rasuah memberi tekanan yang tidak wajar kepada mahkamah.

"Bagi memastikan perbicaraan kes di mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan, Ahmad Zahid Hamidi digesa direhatkan dari tugas sebagai timbalan perdana menteri," kata Faizal pada satu kenyataan.

Bekas menteri besar Perak itu mengulas permohonan Zahid kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini supaya pasportnya dikembalikan secara kekal kepadanya bagi membolehkannya menjalankan tugasan rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam afidavit menyokong permohonan itu, Zahid, yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, berkata dia telah diberi mandat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran.

Oleh demikian, katanya tanpa memegang pasport sendiri akan menjadi halangan tugasannya sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport Zahid sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas dia didakwa atas 47 pertuduhan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang mana prosidingnya kini di peringkat pembelaan.

‘Kelewatan perbicaraan’

Mengulas lanjut, Faizal berkata permohonan Zahid, yang memetik kepentingan negara, memberi tekanan yang tidak wajar kepada mahkamah, serta hakim yang mendengar kes dan ini boleh menjejaskan prosiding kes.

"Pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan.

"Hakikatnya, pentadbiran negara mempunyai timbalan perdana menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini juga perlu dilihat sebagai perossak kepada komposisi jemaah menteri serta kerajaan secara keseluruhan.

"Ia juga satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15 yang mengharapnkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti," kata Faizal.

Menurut Faizal lagi, Anwar perlu merehatkan Zahid kerana tindakan itu merupakan "pendekatan terbaik bagi menangani isu ini."

"(Ia) bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah seterusnya membuktikan beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan.

"Tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan," kata bekas ahli parlimen Tambun itu.

Lihat Komen
ADS