Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat keseluruhan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, KKM telah membentuk pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih itu susulan keputusan kabinet pada 18 Januari lalu untuk memberikan gambaran secara menyeluruh terhadap pengurusan perolehan vaksin Covid-19.
"Ini berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negar dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang menjalankan due diligence secara terpeinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin Covid-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat pada 12 Jan 2021 sehingga 1 Ogos tahun itu bagi menangani pandemik Covid-19.
Pada masa itu, Khairy Jamaluddin merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi.
Khairy juga ditugaskan sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi program imunisasi Covid-19 kebangsaan.
Pentadbiran Muhyiddin memperuntukkan sebanyak RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) untuk membiayai program vaksinasi.
Pada 8 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mendapati urusan perolehan vaksin Covid-19 tidak mengikut peraturan.
“Ia tidak mengikut peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan Jabatan peguam Negara,” kata Anwar.
Menurut Anwar, KKM akan membentangkan Kertas Putih mengenai perolehan vaksin itu pada sidang parlimen akan datang.
Semalam, Khairy memberitahu Sinar Harian bahawa perolehan vaksin Covid-19 dibuat mengikut prosedur.
Khairy juga menyatakan isu perolehan vaksin itu telah disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
