Kerajaan tidak boleh memansuhkan cukai jalan kerana ia merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip kira-kira RM4 bilion setahun, dan kira-kira separuh daripadanya adalah daripada cukai jalan.
"Cukai jalan itu adalah salah satu hasil kepada kerajaan.
"Kalau semua dikecualikan, kerajaan tak ada hasil, macam mana kita nak tadbir negara.
"Kena faham bahawa mana-mana negara pun, kerajaan perlu ada kutipan hasil, terutama cukai.
"JPJ kutip lebih RM4 bilion setiap tahun, dan cukai jalan sebahagian besar daripadanya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, diminta mengulas gesaan netizen supaya kerajaan memansuhkan cukai jalan.
Gesaan itu dibuat selepas Loke pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa kenderaan milik persendirian tidak lagi perlu mempamerkan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM), atau lebih dikenali sebagai pelekat cukai jalan.
Ini adalah sebahagian daripada usaha kementerian itu untuk melaksanakan langkah digitalisasi.
Pada sidang akhbar hari ini, Loke sekali lagi mengingatkan bahawa inisiatif baru itu memberi pilihan kepada pengguna jalan raya untuk mendapatkan salinan cukai jalan digital, namun mereka yang ingin terus mempamerkan pelekat cukai jalan masih boleh berbuat demikian.
"Saya tahu ada pihak kata ini menyusahkan. Macam mana orang-orang tua, yang di kawasan pedalaman, tak ada internet dan sebagainya.
“Saya Ingin ingatkan dan tekankan, bahawa kita tak wajibkan.
“Sticker masih boleh pakai. Bukan tak boleh pakai. Saya hanya kata tak wajib (dipamerkan),” katanya.
