Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenderaan persendirian tak perlu lagi pamer pelekat cukai jalan
Diterbitkan:  Feb 10, 2023 11:21 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Bermula hari ini, pelekat Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) atau lebih dikenali sebagai ‘roadtax’, tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.

"Mulai 10 Februari 2023, pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) danLMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis (secara in-house),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Loke berkata peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan yang mewajibkan lesen kenderaan bermotor dipamerkan pada kenderaan, tidak lagi akan dikuatkasakan.

Loke berkata inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal.

"Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital.

“Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat,” katanya.

Loke berkata orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ [https://public.jpj.gov.my/] ataupun aplikasi mobile MyJPJ.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama ini, beberapa kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan masih wajib mempamerkan LKM dan mengemukakan kad LMM.

Bagi kategori LLM, mereka ialah pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL), pemegang Lesen Vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang lesen memandu Malaysia bagi warganegara asing dan pemegang lesen memandu negara luar oleh pemandu warganegara asing (IDP).

Bagi kategori LKM pula membabitkan LKM persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warganegara asing serta kenderaaan perdagangan meliputi kenderaaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.

"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90 (1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS