Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Jika boleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang mahu menyerap semua kakitangan kesihatan - termasuk doktor - yang berkhidmat bukan secara tetap menjadi kakitangan awam.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ada kekangan iaitu ketiadaan dana untuk melakukan pengambilan tersebut serta keterbatasan perjawatan.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini ahli parlimen Sekijang itu menjelaskan langkah mengambil pekerja terbabit sebagai pegawai tetap perlu dibuat bagi menangani kekangan kakitangan kesihatan di negara ini.

"Kalau boleh, kita nak ambil semua pekerja, semua doktor (tetapi) kalau perjawatan itu tak ada, dan kita tak boleh dapat duit, maka ia tak boleh dilaksanakan.

Terdahulu Zaliha ditanya oleh Kelvin Yii (PH–Bandar Kuching) melalui soalan tambahan mengenai rancangan kerajaan mengatasi isu kekurangan kakitangan yang serius dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara.

Kekurangan itu menjadi punca berlakunya kesesakan di jabatan kecemasan hospital di seluruh negara.

Isu tersebut sebelum ini mendorong doktor kontrak mengadakan hartal di seluruh negara pada 26 Julai 2021 sebagai membantah dasar pelantikan pegawai perubatan yang dilaksanakan sejak akhir 2016.

Ada 7 inisiatif

Beberapa hari lalu pula muncul khabar angin mengenai kemungkinan ada pegawai perubatan yang mahu mengadakan mogok kerana masalah kekurangan kakitangan yang belum diatasi.

Menurut Zaliha walaupun berdepan dengan kekurangan dana serta perjawatan, KKM akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak yang berkaitan.

"Isu ini bukan hanya terletak pada bahu KKM sebaliknya perlu dibincangkan dengan pelbagai agensi lain termasuk JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan MOF (Kementerian Kewangan).

Zaliha juga memberitahu dia akan mengadakan pertemuan dengan pekerja kesihatan pada 28 Feb ini selain menemui pengarah hospital di seluruh negara dalam usaha mengatasi isu tersebut.

Terdahulu dia memberitahu KKM mengemukakan tujuh inisiatif bagi mengurangkan masalah kesesakan pesakit di jabatan kecemasan hospital kerajaan.

Antaranya ialah pelaksanaan projek kemasukan singkat, pendigitalan berpusat unit pengurusan katil melalui sistem Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis di hospital serta penyumberan luar agensi kerjasama agensi kerajaan dan sektor swasta.

"Isu kesesakan di fasiliti-fasiliti kesihatan kerajaan ini juga memerlukan perhatian dan penyelesaian jangka sederhana serta panjang, dengan tindakan diperlukan daripada agensi-agensi pusat seperti isu kekurangan dana, kekurangan kakitangan dan perjawatan kesihatan, isu lantikan kontrak dan serapan ke lantikan tetap, kekurangan serta kedaifan fasiliti dan peralatan kesihatan serta transformasi pendigitalan dengan menyeluruh," katanya.

Sebelum ini, beberapa hospital kerajaan dilaporkan menghadapi masalah kesesakan yang sangat teruk sehingga memberikan tekanan kepada kakitangan kesihatan.

Awal bulan ini, The Star melaporkan keadaan di beberapa jabatan kecemasan hospital kerajaan sangat teruk menyebabkan sehingga masa menunggu untuk dimasukkan ke wad boleh menjangkau dua hari atau lebih.

Doktor yang bercakap dengan media itu memberitahu faktor utama yang menyebabkan kesesakan tersebut ialah kekurangan katil dan kekurangan tenaga kerja.

Antara hospital yang dikenal pasti mengalami masalah sedemikian ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor yang pada awal Februari terpaksa menutup jabatan kecemasannya kepada kes tidak kritikal.

[Baca berita lanjut]

Lihat Komen
ADS