PAS turut menyokong cadangan penubuhan mahkamah khas perlembagaan untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu yang mencetuskan pertikaian perundangan mengenai hak dan aspek-aspek dalam perlembagaan.

Parti Islam itu mahu mahkamah khas tersebut menangani bukan sahaja kes-kes antara orang Islam dengan bukan Islam yang menjejaskan hak asasi beragama dan keluarga, tetapi juga mengenai pencabulan hak asasi manusia yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

PAS percaya mahkamah khas tersebut boleh menyelesaikan dilema yang dihadapi ramai rakyat bukan Islam untuk mendapatkan penghakiman dari mahkamah syariah dalam pertikaian perundangan dengan orang Islam.

Pengerusi Biro Perpaduan Nasional PAS, Mujahid Yusof berkata, mahkamah perlembagaan itu tidak harus dibataskan kepada pertikaian antara orang Islam dan bukan Islam mengenai hak keluarga dan agama.

Ia juga, tambahnya, perlu menangani semua pertikaian berkaitan dengan perlembagaan, terutama pelanggaran hak asasi manusia dan hak sebagai warganegara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Mahkamah khas ini harus menjadi satu mekanisme perundangan untuk melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan hak perlembagaan rakyat," katanya.

K'jaan mesti berani

Mujahid menegaskan demikian sebagai mengulas resolusi yang diluluskan oleh kongres parti Gerakan Wilayah Persekutuan (WP) dalam konvensyen tahunannya Ahad lalu, yang mencadangkan kerajaan menubuhkan mahkamah khas perlembagaan bagi menangani dan menyelesaikan isu-isu berhubungan perundangan dan hak perlembagaan.

Pengerusi Gerakan WP, Datuk Dr Tan Kee Kwong, yang juga pengerusi biro agama parti itu, berkata penubuhan mahkamah tersebut penting untuk menangani "pelbagai aspek perlembagaan yang tidak jelas" yang timbul dalam kes-kes mahkamah yang menjejaskan soal agama, kekeluargaan dan hak asasi bukan Islam.

Mujahid berkata, dengan adanya mahkamah khas perlembagaan itu, maka bukan Islam dapat mengelak daripada diperintah mendapatkan penyelesaian di mahkamah syariah apabila terbabit dalam pertikaian dengan orang Islam.

Katanya, mahkamah khas itu boleh menjadi penyelesaian kepada masalah antara agama, yang akan timbul dari masa ke semasa.

"Negara bukan diambang krisis antara agama. Tetapi kerajaan mesti mempunyai keberanian untuk menangani masalah ini sekarang sebelum keadaan menjadi lebih buruk," tambahnya.

Walaupun beliau bersetuju dengan Tan mengenai cadangan penubuhan mahkamah khas perlembagaan, Mujahid bagaimanapun tidak bersetuju bahawa hak asasi bukan Islam dicabuli apabila mereka diperintah oleh mahkamah sivil supaya menjadi penyelesaian mengikut undang-undang syariah.

Katanya, kebimbangan di kalangan bukan Islam telah menimbulkan salah tanggapan bahawa undang-undang Islam tidak adil kepada mereka.

Beliau berkata, bukan Islam harus melihat mahkamah syariah sebagai satu lagi mekanisme perundangan bagi mereka mendapatkan keadilan melalui kedaulatan undang-undang.

"Dengan mencari keadilan melalui peraturan syariah, bukan Islam tidak dipaksa untuk menerima undang-undang Islam. Mereka hanya diberi satu lagi peluang untuk mendapatkan keadilan," katanya.

Beberapa pertikaian perundangan yang membabitkan bukan Islam dengan saudara baru berlaku, termasuk kes Subashini.

Rata-rata bukan Islam menganggap perintah mahkamah sivil itu sebagai "tidak mengikut perlembagaan, mencabul hak asasi bukan Islam dan membuka jalan untuk bukan Islam menerima undang-undang Islam."

Sehubungan itu, Mujahid menggesa kerajaan supaya mengadakan satu persidangan nasional untuk membincang serta menyelesaikan isu-isu yang menimbulkan pertikaian tersebut.

"Semua parti politik, badan bukan kerajaan dan golongan intelektual serta pakar perundangan hendak dijemput menyertai persidangan ini. Ia boleh membuka jalan dalam menjadi satu penyelesaian yang kekal," katanya. Berita asal