Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perarakan Himpit PAS beri gambaran tak baik kepada Islam - Menteri
Diterbitkan:  Feb 19, 2023 6:34 PM
Dikemaskini: Feb 20, 2023 3:12 AM

Perarakan dengan menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata beri gambaran tidak baik kepada agama dan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berpandangan bahawa penganjur program berkenaan sepatutnya menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan.

"Perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

"Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara.

"Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Mohd Na'im Mokhtar

Tambah Mohd Na'im (gambar, atas) lagi, semua pihak semua pihak adalah bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

Siasatan tak logik - Pemuda PAS

Terdahulu, hari ini media melaporkan penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) bersedia memberi kerjasama untuk siasatan kepada pihak berkuasa berhubung perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai.

Ketua Pemuda PAS Terengganu Mohd Harun Esa berkata walaupun siasatan itu kelihatan tidak logik namun pihaknya bersedia memberi kenyataan.

"Program Himpit menghimpunkan seluruh jentera pemuda PAS Terengganu diadakan sejak 1991 lagi dan menjadi acara tahunan. Sudah menjadi tradisi lapan Pemuda PAS kawasan membawa replika (pedang dan lembing) serta tema perarakan masing-masing.

"Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman bahkan ada yang berkuda pada penganjuran Himpit kali ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpendapat perkara itu perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara.

Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa dalam perkembangan berkaitan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dalam program tersebut sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Rohaimi berkata pihaknya dimaklumkan mengenai perarakan itu, tetapi tidak dimaklumkan tentang perarakan bersama replika senjata.

Katanya perarakan itu merupakan salah satu acara dipertandingkan, rekacipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

"Walaupun pihak polis mengetahui mengenai program tersebut, tetapi tidak dimaklumkan mengenai perarakan membawa replika senjata seperti itu.

"Yang mana telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran di kalangan sesetengah masyarakat," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS