Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Abdul Hadi jangan singgung kedudukan raja-raja Melayu
Diterbitkan:  Mar 7, 2023 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberitahu presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya berhati-hati berhubung kenyataannya mengenai larangan ahli politik menyampaikan khutbah di masjid atau surau.

“Saya cuma nak ingatkan dalam kenyataan-kenyataan dia (Abdul Hadi) harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan raja-raja Melayu, kalau dibicara Perlembagaan Persekutuan sekali pun ada juga kaedah dia.

“Ini soal kebenaran di masjid, ini terpakai untuk semua. Termasuk perdana menteri.

"Kalau saya memilih untuk bersyarah rasmi masjid (maka kebenaran) itu harus keluar kerana itu kuasa agama di negeri itu di bawah raja-raja, jadi kena faham,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan hari ini.

Ahli parlimen Tambun itu mengulas kenyataan Hadi dua hari lepas bahawa tidak ada salahnya ahli politik Islam menyampaikan khutbah di masjid atau surau, sambil menegaskan mereka mempunyai kewajipan untuk bersuara dalam pelbagai perkara termasuk politik.

"Kita kena sedar dalam Islam, politik dan agama tak boleh dipisahkan. Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah," katanya pada 4 Mac.

Hadi menjawab larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli parlimen, Adun dan senator daripada menyampaikan syarahan atau khutbah di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu.

"(Larangan) tu mengulangi arahan yang lama, sejak tahun 1960an lagi," kata presiden PAS lagi menjelaskan dia akan menyampaikan ceramah seperti biasa di surau-surau dan masjid-masjid.

Larangan di Perak

Sementara itu, Anwar juga dilaporkan berkata adalah tidak adil untuk menjadikan larangan itu sebagai isu politik.

“Kalau dia tidak setuju dia boleh bawa ke persembahan Tuanku, jangan serang kami kerana saya pun tidak boleh sebagai Perdana Menteri tapi saya menghormati budaya itu.

“Saya mengelak daripada berucap di masjid kerana saya pergi ke masjid setiap jumaat, itu memang diminta oleh jawatankuasa masjid dan imam untuk menyampaikan sedikit tazkirah selepas Jumaat tapi menghormati arahan jabatan agama masing-masing, saya mengelak maka saya bersalaman sahaja,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Larangan di negeri Terengganu itu dikuatkuasakan mulai 2 Mac, selepas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pengecualian, bagaimanapun, diberikan kepada ahli politik yang telah diiktiraf untuk mengajar atau mereka yang mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian daripada majlis.

Terengganu bukanlah negeri pertama yang melarang ahli politik menyampaikan ucapan di surau dan masjid.

Pada Januari, Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan bahawa semua masjid dan surau di Johor dilarang digunakan sebagai platform untuk menyampaikan ucapan politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut mengeluarkan arahan serupa, melarang ahli politik menyertai aktiviti mengajar atau berceramah di masjid dan surau berdaftar.

Menurut Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim, keputusan itu akan tertakhluk kepada ahli parlimen, Adun, senator, individu yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, calon yang bertanding dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, serta bekas ahli parlimen, Adun atau senator yang masih aktif berpolitik.

Lihat Komen
ADS