Paling Popular
Terkini

Wee Ka Siong mempertahankan dakwaan bahawa "Deepak Jaikishan" menelefonnya sebanyak dua kali berkenaan isu telur import.

Dalam sidang media yang diadakan di parlimen hari ini, Wee turut menggesa bekas peniaga permaidani itu untuk membuat laporan polis jika ada individu lain menyamar sebagai dirinya.

Dia juga mengemukakan bukti berupa tangkap layar ID pemanggil pada telefon bimbitnya untuk mengesahkan dakwaan tersebut.

Menurutnya, "Deepak" menelefonnya pada hari Isnin menggunakan nombor telefon berakhir dengan nombor 9989 dengan huruf "DJT" pada profil aplikasi Whatsappnya.

"Panggilan telefon tersebut dibuat pada jam 9.51 pagi selama 33 saat sebelum terputus. Kemudiannya disusuli dengan panggilan kedua pada jam 9.52 pagi dengan perbualan selama tujuh minit.

"Jika menggunakan aplikasi TrueCaller, hasil carian berdasarkan nombor tersebut dimiliki oleh seorang insan bernama “Deepak J Tekwani”,” kata Wee.

Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam berkata, gambar profil pemanggil itu di WhatsApp juga menyerupai Deepak Jaikishan.

Bagaimanapun, presiden MCA itu berkata avatar berkenaan ditukar selepas dia mendedahkan bahawa ahli perniagaan kontroversi itu menggunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk meminta Wee memperbetulkan kenyataan berhubung isu telur import berkenaan.

"Sekiranya Deepak Jaikishan merasakan ada orang yang menyamar (impersonate) beliau atas nama “Deepak” membuat panggilan kepada saya pada 13 Mac 2023, jam 9.51 pagi, saya menyeru agar Deepak Jaikishan membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

"Saya bersedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan semua bukti yang ada.

“Saya ingat setiap patah perkataan yang diucapkan kepada saya. Biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telco untuk mencari identiti “Deepak” yang menggunakan nombor telefon bimbit yang berakhir dengan nombor 9989,” tambahnya.

Semalam, Malaysiakini menghubungi nombor yang disebut Wee.

Pemilik nombor itu, bagaimanapun, mendakwa dia bukan Deepak dan memperkenalkan dirinya sebagai "Encik Raja".

Dia juga mendakwa merupakan pembantu kepada salah seorang pemegang saham dalam J&E Advanced Tech Sdn Bhd.

J&E ialah syarikat tunggal yang dianugerahkan kontrak daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India semasa kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Deepak tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam syarikat J&E.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Deepak menafikan dia ada menghubungi Wee dan menghubungkannya dengan J&E.

PMO juga telah mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama pejabat itu untuk agenda peribadi, serta memberi amaran tindakan keras akan diambil jika ada invidividu berbuat demikian.

Pada 22 Feb lalu, Wee memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan harus menyelesaikan masalah dihadapi pengeluar telur tempatan dan bukannya mengimport telur dari India - yang menurutnya lebih mahal dan lebih kecil daripada biasa.

Kerajaan membuat keputusan mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk menangani isu kekurangan telur.

Pemimpin Bersatu, Azmin Ali mendakwa Deepak adalah satu-satunya individu yang diberikan kontrak untuk mengimport telur berkenaan.

Sebagai respons kepada dakwaan Azmin, Deepak memberitahu Malaysiakini pihaknya sedang dalam proses memfailkan saman fitnah terhadap pemimpin Bersatu itu.

Lihat Komen
ADS