Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Tiada tolak ansur terhadap adu domba perkauman
Diterbitkan:  Mar 17, 2023 2:32 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap "sebarang usaha adu domba bagi hangatkan suhu perkauman" di negara ini.

"Kita harus tegaskan walaupun apa saja singgungn dan fitnaah dan serangan kepada kerajaan perpaduan.

"Kita teguh pertahankan prinsip perlembagaan negara. Islam agama persekutuan dengan memberi ruang dan kebebasan seperti yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan dari awal kebebasan hak semua agama lain.

"Kalau ada beberapa isu yang berbangkit. Harus dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan ataupun salah sangka atau prasangka.

"Ini termasuklah apa yang dibangkitkan baru-baru ini tentang kunjungan ke masjid yang tidak harus melibatkan kerajaan sama sekali.

"Dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran peraturan atau menimbulkan sedikit sebanyak menimbulkan sensitiviti kaum. Perkara ini perlu dileraikan melaui perundingan,” kata Anwar pada sidang media selepas mesyuarat kabinet hari ini .

"Kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib dibangunkan oleh Melayu dan bumiputera, Cina, India, suku-suku kaum Dayak, Iban, Melanau dan Kadazan Dusun dan lain-lain.

"Saya ingin tegaskan tidak akan bertolak ansur dalam hal ini, sebarang usaha oleh sesiapapun yang cuba mengadudomba menghangatkan suhu kaum atau agama di negara ini tidak akan diizinkan,” kata Anwar lagi.

Perdana menteri juga berkata dia telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk mengawasi pihak yang mungkin mengeksploitasi sentimen untuk mencetuskan huru-hara.

"Saya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang desperate (terdesak) atau rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa juga kekacauan.

"Jadi saya ingin tegaskan, dan kabinet bersama dalam hal ini untuk mempastikan bahawa kedamaian, keamanan semua kaum dipertahankan dan kerajaan tidak akan bertolak ansur sedikitpun terhadap mana-mana usaha yang akan mengganggu gugat keselamatan negara,” kata perdana menteri.

Amaran Anwar itu dibuat susulan beberapa insiden sejak sebulan lalu yang dikaitkan dengan kontroversi kaum dan agama.

Terdahulu, Projek Artikel 11" salah satu inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia mencetuskan kontroversi apabila dituduh segelintir pihak sebagai program evangelis Kristian.

Bagaimanapun, Impact Melaysia menjelaskan projek itu bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan.

Setakat ini, program Jom Ziarah telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada 4 Mac serta tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac lalu.

Dua program yang dijadual diadakan adalah "Jom Ziarah Gereja" dan "Jom Ziarah Kuil Hindu", masing-masing pada 18 dan 19 Mac ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan tuduhan agensinya menjalankan program berkaitan ‘Kristianisasai’ dan Menterinya Hannah Yeoh membalas dakwaah tersebut dengan menggunakan hujah pernah disuarakan pemimpin PAS.

Yeoh berkata Tuan Ibrahim ahli parlimen PAS dan PN - pada 2 Okt 2018 - pernah menyebut, tidak salah orang Islam masuk kuil terima kalungan.

Gambar fail, lawatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke gereja di Miri.

Menjelaskan lebih lanjut Yeoh turut memetik kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya pada 2015 ahli parlimen Marang itu sendiri pernah melawat gereja di Miri, Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Abdul Aziz Mohd Yusof berkata program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS