Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdul Hadi: Kita sedang saksikan 'pesta kezaliman'
Diterbitkan:  Mar 18, 2023 8:08 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa berlakunya pendakwaan terpilih terhadap musuh politik dan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘zalim’.

Menurut ahli parlimen Marang, adalah haram hukumnya untuk bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.

"Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih.

"Perkara ini berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.

"Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.

"Lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja," katanya melalui tulisan Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya.

Bagaimanapun, tidak jelas jika kenyataan Abdul Hadi ini merujuk kepada pendakwaan yang dikenakan terhadap sekutu politiknya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.

Pada 13 Mac lalu, bekas perdana menteri itu didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam melibatkan RM5 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

Pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Pemimpin berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM5 juta hasil daripada daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang disalurkan ke dalam akaun Bersatu, pada 7 Jan 2022.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

Dia mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai perdana menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Hakim Azura Alwi kemudian membebaskan Muhyiddin dengan jaminan sebanyak RM2 juta bersama dua orang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya.

Pemimpin PN lain turut didakwa atas tuduhan rasuah membabitkan program Jana Wibawa era Muhyiddin, termasuk bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Dalam pada itu Abdul Hadi hari ini mendakwa mereka yang dianggap lawan diheret ke mahkamah manakala kawan yang menyokongnya cuba dihentikan perbicaraan.

Bagaimanapun, presiden PAS itu berkata Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya.

"Terang lagi bersuluh bahawa berlaku tindakan zalim dengan mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih, sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan.

"Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya, supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya.

"Hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS