Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir dakwa Anwar cuba kunci mulut Melayu
Diterbitkan:  Mar 20, 2023 6:44 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Dr Mahathir Mohamad melancarkan satu lagi serangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi nampaknya dia mengambil kenyataan presiden PKR itu di luar konteks.

Menurut Mahathir, kerajaan semasa telah "menetapkan orang ramai untuk tidak bercakap tentang kaum dan agama."

Namun, tiada larangan seumpama itu dibuat dan peringatan Anwar baru-baru ini adalah berkenaan tiada tolak ansur terhadap "sebarang usaha adu domba bagi hangatkan suhu perkauman".

Dalam kenyataan media terbaru hari ini, Mahathir sekali lagi mengulang dakwaan bahawa kerajaan di sebalik beberapa pembatalan lokasi penganjuran Proklamasi Orang Melayu.

"Jelas, ketetapan itu ditujukan kepada orang Melayu.

"Ketatapan ini hakikatnya bersifat perkauman kerana ia menafikan hak orang Melayu. Tidak mengapa untuk bercakap tentang aspek pelbagai kaum dan agama. Ia tidak mengapa kerana ia berpihak kepada kaum lain. Ini juga bersifat perkauman.

"Larangan (yang didakwa dibuat kerajaan) untuk orang Melayu berbincang tentang masalah mereka dan mencari jalan untuk menyelesaikannya adalah tidak demokratik dan anti-Melayu. Ini juga bersifat perkauman," katanya.

Mahathir berkata tiada sesiapa dapat menafikan bahawa orang Melayu berdepan pelbagai masalah dan ia akan bertambah buruk jika tidak ditangani sekarang.

Mahathir juga mendakwa kerajaan tidak jujur dalam usaha membanteras rasuah dan hanya fokus kepada pembangkang.

"Setakat ini, usaha antirasuah menyasarkan pemimpin pembangkang. Kalangan dalam kerajaan yang diketahui korup tidak disiasat.

"Ini menunjukkan usaha ini tentang menyinkirkan pemimpin pembangkang agar tiada lagi pembangkang ketika PRN nanti," katanya lagi.

Katanya lagi, jika kerajaan komited dalam menangani rasuah, kerajaan sepatutnya membenarkan perhimpunan awam diadakan bagi melancarkan proklamasi tersebut.

"Sebenarnya, kerajaan tidak tahu apa yang akan diperkatakan dalam himpunan ini.

"Malah deklarasi (yang akan dibuat) tidak menyalahkan kaum lain. Ia menyalahkan pemimpin Melayu yang telah didapati bersalah mencuri dana kerajaan, melakukan pengubahan wang haram dan rasuah," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS