Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senator: Macam 'tak percaya' tengok angka 70,000 penagih dadah OKU

Kenyataan bahawa orang kurang upaya (OKU) yang menjalani rawatan serta pemulihan ketagihan dadah di rumah dan di "dalam komuniti" oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah mengelirukan dan cukup mengejutkan, kata Senator Isaiah Jacob.

Ketika ditemui di parlimen, Isaiah, yang baru dilantik semalam sebagai ahli Dewan Negara PKR untuk Kuala Lumpur, berkata selalunya ada kisah berbeza dalam hal berkaitan masyarakat OKU.

“Angka yang mereka berikan semalam mengelirukan semua orang.

“Malah saya tidak percaya terdapat begitu ramai sekali orang.

"Itu sebab saya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengatur segala-galanya dan mungkin itu akan membantu semua orang," katanya kepada Malaysiakini.

Isaiah berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat semalam.

Shamsul berkata AADK telah menjalankan pemulihan "dalam komuniti" untuk sebahagian besar daripada 70,000 OKU yang pulih daripada penagihan dadah.

"Anda lihat Jabatan Kebajikan, saya tidak fikir mereka mempunyai rekod yang betul mengenai perkara ini," kata Isaiah, yang juga seorang OKU.

“Jadi apa yang saya rancang untuk lakukan ialah menambah baik sistem, data mesti betul.

"Jika data tidak betul, maka di sinilah kita mempunyai masalah," katanya lagi.

Sebagai permulaan, Isaiah berkata jabatan itu boleh berusaha untuk menambah baik pendaftaran OKU dan mengemas kini keadaan individu mereka.

Katanya, ini supaya golongan OKU boleh mendapat akses kepada rawatan seperti dialisis atau pemulihan.

Semalam, Shamsul (gambar, atas) berkata 85 OKU yang menjalani pemulihan di pusat AADK adalah antara mereka yang mempunyai "keupayaan fizikal" untuk penjagaan kendiri.

Sebaliknya, dia berkata sebahagian besar yang menjalani pemulihan dalam komuniti di rumah adalah OKU yang memerlukan bantuan untuk aktiviti harian seperti makan dan membersihkan diri.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS