Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lim ingatkan Muhyiddin - Jangan jadi seperti Donald Trump

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng hari ini memberi amaran kepada Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin supaya tidak menjadikan kempen pilihan raya sebagai sesuatu yang berbaur perkauman seperti dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan status pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary.

Bercakap kepada pemberita di luar balai polis daerah Dang Wangi, Lim berkata laporan polisnya terhadap Muhyiddin bertujuan mengelak perkara itu dijadikan bahan kempen bagi enam pilihan raya negeri akan datang.

"Jika kita tidak menghentikan (pembohongan) ini maka mereka (PN) akan menggunakannya pada pilihan raya negeri akan datang. Saya rasa itu amat berbahaya.

“Ia sesuatu yang kita mesti hentikan. Tolong kempen berdasarkan fakta.

"Jangan jadi seperti Donald Trump. Berkempen atas pembohongan," kata Lim merujuk kepada kempen presiden bekas presiden AS itu pada 2016 yang terkenal dengan mesej berhaluan kanannya yang berpaksikan 'Make America Great Again'.

Pada 9 Mac, Muhyiddin menuduh Lim ketika menjadi menteri kewangan telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Muhyiddin membuat dakwaan itu selepas dia diarahkan oleh SPRM supaya hadir ke ibu pejabat suruhanya pencegahan rasuah itu merakamkan kenyataannya. Antara isu yang dibangkitkan SPRM ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Lim, yang ditemani ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer selaku peguamnya, serta ahli Parlimen DAP lain yang hadir sebagai solidariti, berkata Muhyiddin enggan menarik balik tuduhan itu di sebalik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam yang “membersihkannya”.

Anwar, yang juga menteri kewangan, memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa penuh ke atas perkara yang berkaitan dengan pengecualian cukai, tanpa campur tangan daripada menteri kewangan atau perdana menteri.

Mengulas lanjut, Lim berkata dalam laporannya, dia menggesa polis menyiasat Muhyiddin kerana memfitnah dan juga cuba menghasut.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tuduhan membatalkan pengecualian cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan AlBukhary.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata laporan tersebut dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin mengulangi fitnah terhadap beliau dalam satu kenyataan media dan sidang media pada 11 dan 12 Mac lepas.

"Saya telah berkali-kali menyatakan bahawa ini (dakwaan) tidak benar dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary.

"Saya telah mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tunjukkan bukti di mana saya batalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary," katanya ketika ditemui media sebelum membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, Muhyiddin sengaja memainkan perkara ini untuk menyebarkan sentimen yang tidak sihat.

"Beliau tahu kalau perkara ini disebarkan bahawa seorang Menteri Kewangan bukan Islam membatalkan pengecualian cukai terhadap satu Yayasan Islam yang melaksanakan tugas kerja-kerja amal, ini akan memenuhi hasrat meniup sentimen tidak sihat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lepas, mendakwa kerajaan Pakatan Harapan membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang sebelum ini diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa beliau tahu punca Lim yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam mengesahkan Lim ketika menjadi Menteri Kewangan tidak pernah membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti yang didakwa.

Anwar berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Feb 2021.

Beliau berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan terletak di bawah kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Lihat Komen
ADS