mk-logo
Berita
Menteri kata penganggur pilih kerja, PSM jawab sebab gaji rendah
Diterbitkan:  Mar 26, 2023 10:06 PM
Dikemaskini: 2:16 PM

Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bahawa ramai penganggur "memilih kerja."

"Ini tidak betul sama sekali kerana isu akar umbi adalah kadar gaji yang terlalu rendah," kata Koordinator Nasional Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sivaranjani Manickam.

Menurut Sivaranjani, menteri itu perlu berhenti daripada membuat kenyataan retorik yang prokapitalis dan golongan maha kaya.

Pemimpin PSM ini mendakwa Sivakumar tidak memiliki keazaman politik untuk menaikkan gaji pekerja.

Gambar fail, PSM menuntut hak pekerja.

"Menteri sumber manusia perlu ingat bahawa rakyat yang mengundinya sebagai ahli parlimen.

"Malah, gaji menteri sumber manusia yang bernilai beratus ribu setahun adalah hasil titik peluh dan keringat rakyat. Menteri sumber manusia tidak harus menggigit tangan yang menyuapnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Sivaranjani berkata kajian daripada Institut Kajian Khazanah menunjukkan bahawa kadar kenaikan gaji adalah terlalu rendah berbanding dengan kos sara hidup sejak beberapa dekad di Malaysia.

Tambahnya, walaupun gaji minima RM1,500 dilaksanakan untuk sebahagian tenaga kerja, tetapi jumlah gaji tersebut masih di bawah paras garis kemiskinan di Malaysia iaitu RM2,200.

"Namun, pihak korporat dan syarikat berdegil untuk menaikan gaji pekerja kerana kelemahan kuasa kolektif tenaga kerja (labour collective power) di Malaysia.

"Gaji yang rendah adalah faktor utama mengapa anak muda tidak minat dengan pekerjaan sedia di dalam Malaysia. Anak muda sudi bangun pada 3 pagi menuju ke Singapura untuk bekerja sebagai pembersih lantai.

"Malah, anak muda sudi meninggalkan keluarga dan tanah air ke negara yang tidak kenalan untuk bekerja sebagai pemetik buah demi gaji lebih tinggi," katanya.

Justeru, Sivaranjani menggesa kerajaan mengambil langkah kukuh untuk meningkatkan gaji dengan memudahkan penubuhan kesatuan sekerja di Malaysia.

Semalam, Sivakumar memberi jaminan bahawa tiada pengurangan tenaga kerja berlaku sekiranya lebih banyak monopoli yang wujud di dalam negara dipecahkan.

Sivakumar berkata isu itu tidak timbul kerana keperluan terhadap permintaan tenaga kerja di negara ini adalah tinggi.

Bagaimanapun, katanya apa yang menjadi masalah apabila ada ramai daripada penganggur yang terlalu memilih kerja.

"Jadi kalau kita hendak lihat tentang kekosongan yang wujud, memang banyak jadi proses ini saya rasa tidak akan memberi apa-apa kesan buruk kepada pekerjaan yang ada di negara kita, tidak ada masalah," katanya.

Lihat Komen
ADS