Mahkamah Persekutuan akan memutuskan mengenai permohonan Najib Abdul Razak untuk menyemak sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta, esok.

Keputusan lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang akan diserahkan esok boleh menyebabkan Najib, juga bekas menteri kewangan, dibebaskan sepenuhnya daripada tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Sekiranya mahkamah tidak menolak permohonan semakan, ia juga boleh memerintahkan perbicaraan semula kes Najib di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baru, selain Mohd Nazlan Mohd Ghazali, atau untuk pendengaran semula rayuannya di hadapan hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu yang tidak diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Panel lain dalam permohonan semakan itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan, serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Mahkamah Persekutuan telah mendengar permohonan semakan itu dalam tempoh enam hari yang bermula pada 19 Jan, diteruskan hingga 20 hingga 22 dan 27 Feb, dan berakhir pada 28 Feb.

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel Mahkamah Persekutuan berasingan yang dipengerusikan Tengku Maimun menolak rayuan Najib untuk mengetepikan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah itu.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat

Setelah menamatkan rayuannya di hadapan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Najib telah pergi ke panel Mahkamah Persekutuan semasa untuk mendengar semakannya berhubung kes yang melibatkan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pengubahan wang haram.

Najib yang kini dipenjara di Penjara Kajang juga memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja serta petisyen di hadapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dakwaan penahanan sewenang-wenangnya.

Melalui permohonan semakan sekarang, Najib berhujah bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan, yang telah dinaikkan dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan, berada dalam konflik kepentingan apabila mendengar dan memutuskan kes SRC International pada Julai 2020.

Najib mendakwa, antara lain, hakim itu didakwa sedar bahawa Maybank Investment (satu entiti Kumpulan Maybank) dan BinaFikir (satu lagi entiti Kumpulan Maybank) telah menasihati 1MDB dalam perkara berkaitan penubuhan SRC International.

Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Najib mendakwa konflik kepentingan itu timbul kerana peranan Nazlan sebagai peguam am Maybank sebelum ini.

SRC merupakan anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Permohonan semakan Najib juga menyasarkan tiga keputusan lain panel sebelumnya, iaitu keputusan yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan untuk mengukuhkan dakwaannya terhadap Nazlan, keputusan menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya peguamnya mempunyai lebih banyak masa untuk menyediakan rayuan dan keputusan menolak permohonannya untuk menyingkirkan Tengku Maimun dari panel hakim atas dakwaan konflik kepentingan.

Lihat Komen
ADS