Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Shafee: Keputusan tidak sepakat dalam semakan SRC buka jalan lain

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta, dengan keputusan 4-1 hari ini.

Pengerusi panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli membuat satu-satunya penghakiman menentang dalam permohonan ini.

Keputusan untuk menolak permohonan tersebut dibuat empat lagi panel hakim, iaitu hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan, serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini.


Shafee: Keputusan tidak sepakat hakim buka jalan lain

12.15 tengahari: Peguam pembelaan utama, Muhammad Shafee Abdullah, berkata bahawa penghakiman bertentangan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, membuka satu jalan lain dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.

Apabila ditanya oleh media selepas prosiding, Shafee enggan mengesahkan sama ada mereka akan mengemukakan permohonan semakan kali kedua atau tidak.

"Akibat penghakiman minoriti, terdapat  jalan yang dibuka. Terdapat kes yang bantahan tidak hanya dilakukan sekali. 

“Selagi terdapat alasan untuk bantahan baru, ia (semakan) boleh dilakukan," kata Shafee sambil menolak untuk mengesahkan jika permohonan semakan kali kedua akan dikemukakan.


Keputusan buktikan tiada sesiapa mengatasi undang-undang: DPP

12.10 tengah hari:  Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, berkata bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan semakan Najib Razak dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta hari ini membuktikan bahawa "tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang".

Bercakap kepada wartawan selepas prosiding hari ini, DPP itu berkata bahawa keputusan menunjukkan bahawa keseluruhan kes itu tidak mempunyai motif politik dan bahawa kes SRC terhadap bekas perdana menteri tersebut telah dibuat dengan betul.

Bagaimanapun, DPP itu tidak menolak kemungkinan pasukan peguam Najib memfailkan permohonan semakan sekali lagi.


12.02 tengah hari: Ramai wartawan dan jurugambar berkumpul di lobi Istana Kehakiman.

Mereka berkumpul di situ bagi sidang media yang mungkin diadakan oleh pasukan peguam Najib Razak.


Najib dijangka dibawa semula ke Penjara Kajang

11.31 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli selesai membaca penghakiman menentang yang dibuatnya dan perbicaraan ditangguhkan.

Najib Razak yang berada di kandang orang salah dilihat sedang berbincang dengan ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas perdana menteri itu dijangka dibawa semula ke Penjara Kajang.


Abdul Rahman: Hak Najib untuk perbicaraan yang adil dinafi

10.57 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini menafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kepada Najib.

Rahman berkata ia berlaku apabila panel hakim menolak permohonan yang dibuat pasukan pembelaan ketika itu agar pendengaran ditangguhkan agar mereka boleh membuat persediaan.

"(Permohonan) penangguhan bukan untuk lari dari rayuan tetapi dibuat dengan jujur agar peguamnya dapat buat persediaan," kata Rahman.


'Panel sebelum ini tak pertimbang jika ada kesilapan dibuat'

10.50 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata panel hakim sebelum ini tidak menimbang jika keputusan menolak permohonan penangguhan akan menyebabkan kesilapan di pihak mahkamah terhadap Najib Razak.


'Sisi Najib tidak didengar ketika rayuan'

10.42 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata sisi Najib tidak didengar langsung ketika pendengaran rayuan SRC tahun lalu.

Pengerusi panel hakim yang juga satu-satunya yang membuat penghakiman menentang hari ini, berkata pihak pendakwaan membuat penghujahan lisan selama dua hari ketika pendengaran manakala peguam Najib tidak membuat sebarang penghujahan lisan.

Menurutnya, ia menafikan hak dalam soal perundangan dan maka Mahkamah Persekutuan perlu masuk campur.

"Mahkamah (Persekutuan tahun lalu) patut meminta pemohon (Najib) untuk bercakap dahulu sebelum membenarkan timbalan pendakwa raya bercakap, tetapi ini tidak dilakukan," katanya.

Dia berkata ia patut dilakukan memandangkan peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan selepas permohonan untuk pendegaran ditangguhkan tidak diterima.


Suasana suram di luar

10.40 pagi: Suasana di luar Istana Kehakiman bertukar suram selepas keputusan Mahkamah Persekutuan menolak semakan kehakiman Najib Razak diketahui.

Kira-kira 100 penyokong Najib berkumpul di luar Kompleks mahkamah persekutuan di Putrajaya sejak 7.30 pagi dengan harapan Najib akan dibebaskan hari ini. Namun mereka dilihat sedih setelah mendapat tahu bekas ahli Parlimen Pekan itu akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Ada juga yang berkata bahawa keputusan hari ini telah pun ‘dijangka’.

Ada penyokong yang mula beredar dan ada juga yang mula berkumpul sekitar jalan keluar mahkamah untuk melihat Najib sebelum dia dibawa semula ke Penjara Kajang.


Abdul Rahman: Permohonan penangguhan dibuat dengan niat jujur

10.31 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman menentang, berkata permohonan Najib Razak agar pendengaran rayuan kes SRC pada tahun lalu dibuat dengan niat jujur.

Tahun lalu, panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menafikan permohonan yang dibuat pasukan pembelaan ketika itu untuk pendengaran ditangguhkan, agar mereka boleh membuat persediaan yang memadai.

Abdul Rahman Sebli

Abdul Rahman: Peguam Najib tak bersedia untuk kendali 30,000 dokumen

10.28 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman menentang, berkata peguam Najib Razak iaitu Hisyam Teh Poh Teik tidak bersedia untuk berhujah dalam rayuan kes SRC International tahun lalu.

Dia berkata ini kerana panel hakim ketika itu tidak membenarkan permohonan untuk menangguhkan pendengaran.

"Pemohon (Najib) tidak sepatutnya membayar harga atas kesilapan peguam," katanya.


Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib

9.51 pagi: Panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli menolak permohonan semakan Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Empat hakim membuat keputusan menolak permohonan itu, manakala penghakiman menentang oleh Abdul Rahman.

Keputusan hari ini selari dengan keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.


9.49 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata Najib Razak adalah pengarang kepada nasib malang dirinya.


Hakim: Tengku Maimun buat keputusan betul

9.43 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan yang betul apabila tidak menarik diri daripada mendengar rayuan Najib tahun lalu.

Tengku Maimu Tuan Mat

'Terpulang pada mahkamah untuk benarkan Hisyam tarik diri'

9.38 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata terpulan kepada Mahkamah Persekutuan sama ada untuk membenarkan peguam Najib untuk menarik diri atau tidak daripada mewakilinya.

Ong berkata tiada merit dalam hujah yang mengatakan panel hakim ketika rayuan tersebut telah terkhilaf apabila melarang Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International tahun lalu.


'Tiada kesilapan mahkamah'

9.35 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib Razak dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim tahun lalu.


'Peguam Najib diberi peluang untuk berhujah'

9.30 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata hak Najib Razak untuk mendapat perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan pada tahun lalu.

Ong berkata peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat deimikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim yang akhirnya menolak rayuan tersebut.

Ong merujuk peguam Hisyam Teh Poh Teik yang tidak membuat penghujahan lisan walau diminta berbuat demikian ketika pendengaran tahun lalu.

Hisyam Teh Po Teik

Hakim: Terpulang pada mahkamah untuk benarkan penangguhan

9.20 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata bergantung kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada untuk membenarkan penangguhan pendengaran rayuan atau tidak.

Salah satu hujah dalam permohonan semakan Najib adalah panel hakim sebelum ini khilaf dalam tidak membenarkan permohonan penangguhan selama tiga hingga empat bulan bagi rayuan kes SRC.


'Mahkamah tak nilai semakan seperti rayuan'

9.10 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata panel hakim tidak menilai permohonan semakan seperti rayuan, tetapi melihat isu lain antaranya jika Najib dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.


Hakim baca penghakiman

9.05 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong membacakan penghakiman bagi pihak panel lima hakim Mahkamah Persekutuan.


9.02 pagi: Prosiding bermula.

Beberapa minit sebelumnya, Najib dan isterinya Rosmah Mansor dilihat duduk bersama di galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.

Najib memakai sut berwarna hitam dan bertali leher, sementara Rosmah mengenakan baju kurung hijau. Mereka dilihat sedang berbual dengan beberapa pegawai penjara duduk berdekatan mereka.


Pasukan peguam, pendakwaan tiba di mahkamah

8.40 pagi: Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan beberapa lagi anggota pasukan pendakwaan dilihat tiba di Mahkamah Persekutuan.

Begitu juga dengan pasukan peguam Najib yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.


8.30 pagi: Penyokong Najib Razak mula berkampung di Mahkamah Persekutuan bagi memberi sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.

Sehingga 8.30 pagi sejumlah penyokong yang dilihat berkumpul di perkarangan mahkamah di Putrajaya.


Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli akan memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menegekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan sebelum ini.

Ada tiga kemungkinan jika mahkamah menerima permohonan itu.

Najib sama ada boleh dibebaskan sepenuhnya daripada tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram atau dia akan dibicarakan semula di depan hakim Mahkamah Tinggi yang baru, selain Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Kemungkinan ketiga adalah pendengaran semula rayuannya hadapan hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu yang tidak diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Panel hakim turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan, serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Mahkamah Persekutuan telah mendengar permohonan semakan selama empat hari pada 19 Januari, 20 hingga 22 Februari dan 27 dan 28 Februari lalu.

Pada 23 Ogos lalu, panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tengku Maimun menolak permohonan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes ini.

Setelah menamatkan rayuannya di hadapan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Najib telah pergi ke panel Mahkamah Persekutuan semasa untuk mendengar semakannya.

Najib yang kini dipenjara di Penjara Kajang juga memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja serta petisyen di hadapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dakwaan penahanan sewenang-wenangnya.

Melalui permohonan semakan sekarang, Najib berhujah bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan, yang telah dinaikkan dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan, berada dalam konflik kepentingan apabila mendengar dan memutuskan kes SRC International pada Julai 2020.

Najib mendakwa, antara lain, hakim itu didakwa sedar bahawa Maybank Investment (satu entiti Kumpulan Maybank) dan BinaFikir (satu lagi entiti Kumpulan Maybank) telah menasihati 1MDB dalam perkara berkaitan penubuhan SRC International.

Najib mendakwa konflik kepentingan itu timbul kerana peranan Nazlan sebagai peguam am Maybank sebelum ini.

SRC merupakan anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Permohonan semakan Najib juga menyasarkan tiga keputusan lain panel sebelumnya, iaitu keputusan yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan untuk mengukuhkan dakwaannya terhadap Nazlan, keputusan menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya peguamnya mempunyai lebih banyak masa untuk menyediakan rayuan dan keputusan menolak permohonannya untuk menyingkirkan Tengku Maimun dari panel hakim atas dakwaan konflik kepentingan.

Lihat Komen
ADS