Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim gesa larangan buku mangsa nahas udara Sabah ditarik balik
Diterbitkan:  Apr 6, 2023 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Veteran DAP, Lim Kit Siang, menggesa supaya larangan terhadap buku tulisan salah seorang mangsa nahas pesawat udara di Sabah pada 1976, Golden Son of the Kadazan ditarik balik.

Buku itu - yang diterbitkan buat pertama kali pada Mei 1978 - ditulis oleh bekas ahli politik Bernard Sta Maria dan mengisahkan kehidupan dan kerjaya bekas menteri Sabah, Peter J Mojuntin.

Menyambut baik keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan mengenai nahas udara itu, Lim berkata tiada sebab atau alasan untuk laporan berkenaan itu terus dikekalkan di bawah Akta Rahsia Rasmi selama 47 tahun.

“Diharapkan pendedahan laporan yang dibuat 47 tahun ini dapat memberi penutup kepada insiden yang bukan sahaja mengorbankan Ketua Menteri Sabah (Muhammad Fuad Stephens), tetapi juga tiga orang menteri ketika itu – Salleh Sulang, Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun.

“Sekiranya insiden itu tidak terjadi, sejarah Sabah pada hari ini mungkin sangat berbeza.

“Saya juga menyeru supaya pengharaman terhadap buku Bernard Sta Maria mengenai Peter Mojuntin, The Golden Son of the Kadazan dibatalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2015, menteri dalam negeri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata The Golden Son of the Kadazan diharamkan kerana ia mengandungi “kritikan melampau terhadap kerajaan persekutuan, termasuk kerajaan membuat keputusan terburu-buru di negeri ini (Sabah)”.

Buku itu juga didakwa "cenderung ke arah menimbulkan pergeseran dan konflik di kalangan rakyat Malaysia, khususnya penganut Islam dan Kristian."

Bagaimanapun, pada 2018, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan memberitahu kerajaan perlu menarik semula larangan ke atas buku terbabit kerana ia boleh didapati dan dibaca secara dalam talian.

Lim juga mengulangi gesaannya supaya kerajaan menyahrahsiakan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC).

Katanya, penerbitan laporan CEP dan IRC oleh kerajaan adalah lebih mendesak dan diperlukan memandangkan sejak dari awal lagi ia tidak patut dirahsiakan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

“Saya telah berkali-kali menyeru supaya laporan-laporan CEP dan IRC ini diterbitkan, seawal 13 Okt 2018 apabila saya memetik seruan Pengerusi CEP Daim Zainuddin, yang menyeru supaya cadangan-cadangan CEP ini dibentangkan kepada orang awam.

“Saya buntu sejak dahulu lagi mengenai mengapa perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad enggan meminta kabinet dan Majlis Presiden PH untuk menyahrahsia laporan CEP dan IRC ini pada 2018 dan 2019,” katanya.

Tambah Lim, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak sepatutnya menambah lagi kesilapan Mahathir dengan terus merahsiakan laporan CEP dan IRC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS