story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan akan dedah laporan penuh nahas udara 1976 korbankan KM Sabah
Diterbitkan:  Apr 5, 2023 2:18 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan persekutuan kepada umum mengenai nahas pesawat 1976 yang mengorbankan 11 orang, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Allahyarham Fuad Stephens.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan memahami keresahan ahli keluarga mangsa terbabit dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun yang mahu mengetahui tragedi mengakibatkan pemimpin utama negeri itu terkorban.

Katanya, keputusan kerajaan menghebahkan atau dinyahklasifikasi laporan tersebut sebagai tanda keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.

“Selama ini kerajaan belum memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta 88.

“Hari ini jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat keluarga waris yang menginginkan maklumat terperinci.

"Ianya selari dengan dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.

“Oleh demikian kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat tersebut akan diturun taraf,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Pada 8 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Christopher Chin Soo Yin mengeluarkan perintah mandamus, yang mengarahkan kerajaan untuk memulakan langkah yang diperlukan untuk mendedahkan laporan itu kepada umum.

Allahyarham Tun Fuad Stephens.

Mahkamah memberi kerajaan sehingga 8 Jun depan untuk mematuhi arahan itu.

Pada 15 Mac, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Dikenali sebagai nahas "Double Six", laporan itu kekal diklasifikasikan sebagai sulit selama hampir lima dekad.

Sementara itu, Anwar hari ini juga berkata laporan akhir siasatan nahas udara itu akan didedahkan kepada umum dalam tempoh seminggu lagi.

“Oleh itu, kami (kabinet) telah memutuskan bahawa laporan akhir nahas udara itu dinyahklasifikasikan.

“Maklumat lanjut akan dihebahkan melalui kenyataan rasmi oleh kerajaan dan Kementerian Pengangkutan," katanya lagi.

Turut terkorban dalam insiden 6 Jun itu ialah menteri negeri Salleh Sulong, Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun.

Nahas itu juga meragut nyawa pembantu menteri negeri Darius Binion, setiausaha tetap Kementerian Kewangan Sabah Wahid Peter Andau, Isak Atan (yang merupakan setiausaha sulit kepada menteri kewangan ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah), Koperal Said Mohammad (yang merupakan pengawal peribadi Fuad), juruterbang Kapten Gandhi Nathan dan anak sulung Fuad Johari Stephens.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS