Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan dirinya akan bergerak aktif bersama badan bukan kerajaan (NGO) selepas ini.
Ismail Sabri berkata, dia mengambil keputusan untuk "berehat" seketika daripada politik, khususnya pada bulan Ramadan ini.
Katanya, dia akan kembali aktif selepas Aidilfitri nanti bersama NGO yang memperjuangkan bahasa Melayu.
"NGO bahasa mungkin saya akan aktif balik sebab saya dulu memperjuangkan Bahasa Melayu, mengantarabangsakan Bahasa Melayu, simposium (Bahasa Melayu) dulu saya sudah adakan bersama kumpulan pejuang Bahasa Melayu.

"Mungkin kita akan adakan balik perkara yang sama. Jadi lepas raya nanti insya-Allah saya akan aktif balik," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan di Rumah Amal Asnaf Al-Barakh di Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli parlimen Bera itu berkata, buat masa ini dia lebih selesa untuk melakukan kerja-kerja amal.
Untuk rekod, Ismail Sabri merupakan perdana menteri kesembilan dan juga "poster boy" BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU15) lalu.
Bagaimanapun selepas BN tewas dalam PRU15 lalu, Ismail Sabri dilihat tidak begitu aktif dalam politik, malah tidak mempertahankan jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Ditanya mengenai barisan kempimpinan baru Umno, Ismail Sabri berkata dia memberi ruang kepada mereka untuk melaksanakan tugas terlebih dulu.
Katanya, adalah tidak adil untuk menilai barisan kepimpinan Umno yang baru dipilih itu dalam masa terdekat ini.
"Kita beri peluang pada mereka, saya nak beri komen yang negatif ke positif ke, mereka baru memegang jawatan, baru sekali saya difahamkan (mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
"Jadi kita beri ruang kepada kepimpinan baru untuk membuat perancangan dan sebagainya," katanya.
Mengulas mengenai surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Ismail Sabri berkata dia tidak tahu mengenai perkara itu dan surat berkenaan tidak wujud ketika era pentadbirannya sebagai perdana menteri.
"Saya pun tak tahu, saya hanya baca media saja, saya pun tak jelas apa surat itu," katanya.
