Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ampunkan Najib: Agong bertindak atas nasihat, kata Zainur
Diterbitkan:  Apr 8, 2023 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Seorang peguam kanan hari ini menunjukkan pandang berbeza daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berhubung permohonan pengampunan Umno buat Najib Razak.

Kata Zainur Zakaria, pada pandangannya Agong tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan kepada seseorang melainkan selepas mendapat nasihat daripada lembaga pengampunan.

Justeru Zainur berkata pendapat dikeluarkan Hassan mengenai pembabitan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam proses mendapatkan pembebasan bekas presiden Umno yang sedang dipenjara itu.

"Pandangan (Hassan) tersebut tidak betul. Lembaga pengampunan dianggotai oleh ahli tertentu termasuk perdana menteri.

"Tugas lembaga pengampunan adalah menasihati Agong tentang petisyen pengampunan yang dikemukakan oleh si banduan," katanya dalam kenyataan sebagai reaksi kepada tulisan Hassan pagi tadi.

Kata Hassan pembabitan Anwar dalam proses berkenaan - yang dibuat oleh Umno - tidak akan mewujudkan keretakan dalam kerajaan pusat.

Hassan yang juga seorang peguam berkata, pengampunan diraja berada di bawah kuasa Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut peruntukan itu dan dibaca bersama dengan fasal (3) perkara 40 menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan selepas berunding dengan lembaga pengampunan.

"Ini bermakna nasihat perdana menteri atau jemaah menteri tidak diperlukan," katanya sambil menegaskan Anwar berada dalam keadaan "selamat" selagi kerajaan mematuhi doktrin pengasingan kuasa.

Anwar sendiri pagi tadi mengesahkan dia adalah "sebahagian daripada proses" mengemukakan rayuan Umno kepada Agong untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib.

Tolak keputusan 13 hakim

Seperti Hassan, Anwar memberitahu pemberita bahawa Agong mempunyai kuasa prerogatif dalam memberikan keputusan berhubung permohonan Umno.

Kata Zainur oleh kerana perdana menteri adalah salah seorang ahli lembaga pengampunan, dia akan terlibat dalam membuat keputusan sama ada memberi pengampunan kepada Najib atau tidak.

Zainur merupakan peguam dikenali ramai dan pernah mewakili Anwar pada akhir 1990-an selain menjadi antara ahli pengasas Parti Keadilan Nasional. Parti itu kemudian dikenali sebagai PKR.

Mengulas mengenai rancangan pasukan undang-undang Najib untuk menggunakan penghakiman berbeza sebagai sebahagian daripada petisyen pengampunan, Zainur berkata ia adalah tidak logik.

Hal itu kerana, katanya, lembaga pengampunan dan Agong bukan saja tidak boleh menyemak keputusan yang sudah dibuat oleh mahkamah malah bukan tugas mereka untuk mengkaji atau melihat semula segala keputusan mahkamah bagi menentukan keputusan tersebut betul atau tidak.

Najib Razak

"Juga perlu diingat bahawa seramai 13 hakim, (sembilan di Mahkamah Persekutuan, tiga di Mahkamah Rayuan dan seorang di mahkamah tinggi) memutuskan Najib bersalah.

"Oleh itu adakah Agong sedia menolak keputusan 13 hakim dan memilih keputusan hakim yang seorang itu?" katanya merujuk kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Abdul Rahman merupakan satu-satunya hakim yang mendengar permohonan Najib di Mahkamah Rayuan yang berpendapat Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil.

"Prerogatif belas kasihan tidak boleh dilaksanakan (oleh Agong) berdasarkan merit penghakiman mahkamah, tetapi pertimbangan lain," kata Zainur.

Lihat Komen
ADS