Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Kerajaan tak retak dengan permohonan pengampunan Najib

KATA MP | Umno telah menggerakkan satu momentum kuat untuk memohon Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak.

Adakah momentum tersebut akan mewujudkan keretakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan? Pada pandangan saya, jawapannya tidak.

Mengapa tidak? Kerana pengampunan diraja adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri berada dalam keadaan tertekan dan dilema untuk menasihati Agong sama ada untuk memberi pengampunan ataupun tidak kepada Najib Razak?

Soalan ini tidak relevan dan tidak berbangkit. Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan itu selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan. Ini bermakna nasihat perdana menteri atau jemaah menteri tidak diperlukan.

Anwar Ibrahim berada dalam keadaan selamat dan kerajaan pimpinannya selamat dalam badai yang datang bersama momentum usaha mendapatkan pengampunan yang digerakkan oleh Umno jika dia sebagai perdana menteri dan jemaah menterinya mengambil sikap mematuhi doktrin pengasingan kuasa, iaitu tidak campur tangan dalam bidang kuasa Agong untuk menangani isu pengampunan tersebut mengikut peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang cukup jelas dari Fasal (1) hingga Fasal (13).

Adakah Najib berhak memohon pengampunan Agong?

Permohonan pengampunan Najib itu telah pun difailkan pada Ogos 2022 sebaik selepas keputusan perbicaraan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Perkara 42(2) menyatakan bahawa Agong boleh menjalankan kuasa pengampunan jika hukuman telah dijatuhkan oleh mahkamah.

Ini bermakna Agong boleh memberi pengampunan kepada Najib dalam kes rasuah SRC International yang melibatkan RM42 juta kerana mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

Tetapi Najib ada tiga kes lain yang belum selesai iaitu kes rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM 6.6 bilion.

Tiga kes ini belum selesai perbicaraan di mahkamah, maka Agong tidak ada kuasa untuk memberi pengampunan.

Ada hikmahnya dalam kuasa pengampunan ini bahawa perdana menteri tidak ada kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil sesuatu tindakan menurut Perkara 40 (1), yang menyatakan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat perdana menteri atau jemaah menteri.

Perkara ini tidak terpakai dalam hal pengampunan diraja. Peruntukan ini menyelamatkan perdana menteri dari desakan dan asakan Umno supaya Najib diampunkan.

Jika Anwar dan kabinet pimpinannya tidak berperanan dalam hal pengampunan diraja ini, jadi bagaimana usaha dan prosedur pengampunan diraja ini boleh dijalankan?

Perkara 42(4)(b) menyatakan dengan jelas bahawa Agong menjalankan kuasa pengampunan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42.

Di bawah Perkara 42(5), Lembaga Pengampunan terdiri daripada peguam negara, menteri persekutuan yang bertanggungjawab dan tidak lebih daripada tiga anggota lain yang dilantik oleh Agong.

Menteri persekutuan yang bertanggungjawab di bawah Perkara 42(11) itu bukan perdana menteri tetapi menteri dalam negeri. Ini membebaskan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri daripada beban memutuskan soal pengampunan diraja itu.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah besar dalam soal pengampunan ini. Misalnya Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Agong dan Agong hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu (Perkara 42(8)).

Isu yang berbangkit sekarang, adakah Lembaga Pengampunan telah bermesyuarat sedangkan Najib telah memfailkan permohonan pengampunan sejak Ogos 2022 dan kes semakan keputusan Mahkamah Persekutuan telah ditolak pada 31 Mac 2023 dengan keputusan 4-1?

Ini bermakna “bola di gelanggang” Lembaga Pengampunan. Maka logiklah jika Umno telah menggerakkan momentum memohon Agong memberi pengampunan kepada Najib dengan by-pass perdana menteri kerana dia tiada kuasa dalam hal pengampunan diraja ini.

Jadi Anwar selaku perdana menteri tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan ini lambat atau cepat. Anwar juga tidak boleh dipersalahkan jika pengampunan dibenarkan atau ditolak.

Jika doktrin pengasingan kuasa dihormati dan dipatuhi maka kedudukan Anwar sebagai perdana menteri dan kerajaan perpaduan pimpinannya akan selamat daripada diganggu gugat.


HASSAN ABDUL KARIM merupakan ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS