Paling Popular
Terkini

Zuraida Kamaruddin memohon mahkamah supaya secara rasmi mengiktirafnya sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), berikutan perebutan kuasa antara kepimpinannya yang berlarutan.

Bekas presiden parti itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 24 Mac.

Zuraida dan sepuluh anggota yang lain dipecat daripada PBM pada Disember tahun lalu, apabila parti itu mengumumkan barisan kepimpinan barunya di bawah Presiden Larry Sng pada Februari tahun ini.

Menurut kertas kausa yang dilihat Malaysiakini, Zuraida memohon beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, antaranya bahawa keputusan responden, Pendaftar Pertubuhan (ROS), mengekalkan Sng sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

Bekas ahli parlimen Ampang itu juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Okt tahun lepas.

Menerusi afidavit sokongannya bertarikh 22 Mac, Zuraida berhujah bahawa Sng membuat kenyataan, semasa perhimpunan agung parti pada 1 Okt tahun lepas, bahawa dia bersetuju akan ada peralihan kuasa dalam kepimpinan PBM untuk melantiknya sebagai presiden parti.

Zuraida mendakwa ini berikutan PBM memerlukan seorang "tokoh yang lebih besar" untuk membawa perubahan positif dalam parti.

Zuraida yang juga bekas ahli PKR dan Bersatu mendakwa dia menerima surat daripada PBM bertarikh 15 Okt tahun lepas yang memaklumkan ROS mengenai pelantikannya sebagai presiden parti.

Gambar fail, Sng dan Zuraida.

Bagaimanapun, dia mendakwa bahawa dia kemudian menerima surat daripada PBM pada 19 Dis tahun lepas dengan Sng "mengisytiharkan dirinya sendiri" sebagai presiden parti dan telah menggantung keahlian partinya serta melayangkan surat tunjuk sebab untuk dibalas Zuraida dalam tempoh tujuh hari.

Zuraida berkata dakwaan itu adalah kerana mempersoalkan jawatan presiden parti yang dipegang Ahli Parlimen Julau itu dan mengelirukan ahli parti lain dengan meminta mereka memberikan kenyataan bersama bahawa Sng adalah presiden parti.

Dia juga mendakwa tindakan Sng adalah tidak sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahliannya adalah kuasa yang hanya mampu dimiliki oleh presiden parti, dan Sng ketika membuat keputusan itu bukan lagi presiden parti.

Selanjutnya, Zuraida mendakwa bahawa dia tidak menjawab surat itu kerana dia tidak menganggap tindakan Sng sebagai sah di bawah perlembagaan parti.

Zuraida mendakwa dia mendapat tahu dia dipecat daripada PBM melalui penerbitan akhbar berbahasa Inggeris The Star bertarikh 27 Dis, yang melaporkan dia disingkirkan daripada keahlian parti.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa dia tidak pernah pada bila-bila masa material menerima apa-apa notis, surat dan/atau dimaklumkan oleh PBM mengenai pemecatannya itu.

Zuraida mendakwa ROS tidak pernah memaklumkan kepadanya atau PBM bahawa pendaftar pertubuhan itu akan mengekalkan Sng sebagai presiden parti dalam senarai ahli jawatankuasa parti yang dimilikinya.

Dia mendakwa ROS gagal menggambarkan pelantikannya sebagai presiden PBM pada senarai ahli jawatankuasa parti dalam rekod pendaftar.

Dia mendakwa kegagalan ROS untuk memastikan kandungan surat itu (bertarikh 15 Okt tahun lepas) telah menyebabkan dia dipecat daripada parti secara tidak mengikut perlembagaan.

Zuraida mendakwa sebagai presiden PBM dan ahli majlis tertinggi parti, dia hanya boleh dipecat melalui undian sekurang-kurangnya dua pertiga daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung parti, mengikut Perkara 14 perlembagaan PBM.

"Kegagalan dan/ atau kecuaian responden telah membolehkan PBM untuk memecat saya secara tidak berpelembagaan/ unconstitrutional yang secara langsung mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej dan kerjaya politik saya," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Zuraida Mohamed Ashmeer Ashrof mengesahkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok.

Malaysiakini telah cuba menghubungi wakil undang-undang ROS berhubung perkara itu.

Zuraida meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020 dalam Langkah Sheraton yang menggulingkan pentadbiran PH dan menaikkan kerajaan yang diterajui PN.

Bagaimanapun, pada pertengahan tahun lalu, dia meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

Lihat Komen
ADS