Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno gesa sambutan Songkran Kedah masuk kalendar pelancongan
Diterbitkan:  Apr 13, 2023 3:49 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Umno Kedah menggesa pentadbiran kerajaan negeri memasukkan Hari Songkran yang disambut pada hari ini setiap tahun oleh masyarakat Siam ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri.

Pengerusinya Mahdzir Khalid berkata, sambutan Hari Songkran sememangnya mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dijadikan daya tarikan pelancong.

"Kedah bawah kerajaan BN (sebelum ini) mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Siam dalam kemajuan, pembangunan serta keamanan negeri Kedah khasnya dan negara Malaysia amnya. 

“Justeru, Umno Kedah menggesa pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang melihat kepada kepentingan sumbangan masyarakat Siam di negeri ini dari segi kepentingan eko-pelancongan menerusi budaya dan adat resam mereka iaitu sambutan Hari Songkran", katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir Khalid

Jelas Mahdzir, sumbangan masyarakat Siam di negeri itu tidak boleh dipinggirkan sama sekali walaupun jumlahnya minoriti berbanding kaum lain.

Katanya, masyarakat Siam yang berasimilasi di Kedah sejak sekian menjadikan Kedah sangat unik khususnya menerusi pelbagai acara kebudayaan termasuk sambutan Hari Songkran.

Selain itu kata Mahdzir, sikap toleransi, muafakat dan kerjasama yang diamalkan oleh masyarakat Siam, telah mewujudkan jalinan kesatuan, perpaduan dan keamanan di negeri itu.

"Saya juga melihat sambutan Hari Songkran ini bukan sahaja boleh dijadikan acara tarikan pelancong di peringkat negeri Kedah, malah Kementerian Pelancongan boleh juga mempromosikannya.

“Negara jiran kita Thailand meraih keuntungan sektor pelancongannya setiap tahun menerusi acara Songkran tersebut hingga menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh pelancong asing untuk berkunjung ke negara itu,” katanya.

Kedah mempunyai jumlah penduduk masyarakat Siam paling ramai di negara ini iaitu lebih 40,000 orang.

Songkran atau festival air adalah sambutan tahun baru masyarakat Siam disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.

Lihat Komen
ADS