mk-logo
Berita
Ada pemimpin PH takut jika Najib bebas, kata Puad
Diterbitkan:  Apr 15, 2023 10:01 PM
Dikemaskini: 4:30 PM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi membidas pihak dalam PH yang berpandangan kerajaan berisiko runtuh jika bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan diraja.

Puad berkata ia jelas memperlihatkan mereka, termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim takut jika Najib dibebaskan.

“Lim orang seterusnya mengatakan kerajaan perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib Razak diberikan pengampunan diraja.

"Mereka takut jika Najib bebas. Dia ancaman kepada PH dan Anwar Ibrahim. Mereka takut Umno tambah kuat melalui gabungan Najib-Ahmad Zahid (Hamidi). Apatah lagi Zahid makin kukuh dalam Umno," katanya dalam hantaran di Facebook.

Puad berkata demikian ketika mengulas amaran Lim bahawa kerajaan boleh runtuh jika Najib dibebaskan dengan diberi pengampunan diraja.

Menjelaskan pendapatnya, Lim hari ini melihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Anwar lebih kepada bersifat dalaman daripada luaran.


PANDUANKINI l Ampunkan Najib: Bagaimana dan apa prosesnya?


Sebelum ini, Hassan mendakwa bahawa kerajaan akan berdepan masalah besar jika Najib diberi pengampunan tersebut.

Mengulas lanjut, Puad yang juga speaker DUN Johor berkata Lim tidak seharusnya lupa bagaimana kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkubur.

“Kit Siang lupa DAP punca kerajaan 22 bulan Mahathir tumbang. DAP adalah alasan utama 'Muhyiddin (Yassin) buat 'Langkah Sheraton”.

"Sebenarnya DAP boleh jadi punca kerajaan perpaduan runtuh...bukan Najib atau Zahid.

"Bukan mudah Umno betulkan dasar 'No DAP No Anwar'. Gelagat DAP dan menterinya umpama bom jangka," katanya lagi.

Minggu lalu, MKT Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International.

Umno juga akan menghantar memorandum yang ditandatangani oleh semua 191 pemimpin bahagian parti itu kepada Agong.

Lihat Komen
ADS