Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tidak akan beri 'nilai tambah' kepada PH, kata Pemuda PKR
Diterbitkan:  Apr 18, 2023 1:58 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Sambil melabelkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai ‘kaduk naik junjung’, Pemuda PKR mengingatkan parti itu supaya sedar diri dan tidak mendesak untuk mendapatkan jawapan berhubung permohonannya untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Malah, kata Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR Selangor Mohd Fauzi Fadzil, kehadiran parti itu tidak akan memberikan sebarang “nilai tambah” kepada kekuatan gabungan itu.

Katanya, sebagai "tuan rumah", PH mempunyai kata putus untuk menentukan masa yang sesuai untuk parti berasakan pemuda itu menyertai mereka.

“Perkara pertama yang perlu difahami oleh pimpinan Muda adalah mereka merupakan ‘orang luar’ yang sedang meminta kebenaran untuk masuk ke rumah PH - ‘tuan rumah’ berhak untuk menentukan bila masa yang sesuai ‘orang luar’ tersebut boleh masuk ke rumah mereka.

“Perbuatan mendesak penerimaan Muda ke dalam PH adalah suatu perbuatan biadab dan tidak menghormati hak parti gabungan PH sebagai ‘tuan rumah’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fauzi Fadzil

Menurut Fauzi, Majlis Presiden PH yang sepatutnya memutuskan permohonan Muda, mempunyai banyak perkara lain yang lebih mustahak, seperti menterjemahkan idea reformasi dalam bentuk polisi dan dasar kerajaan.

Fauzi mengulas kenyataan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru-baru ini melahirkan harapan agar isu-isu mengenai permohonannya untuk menyertai PH akan dapat diselesaikan sebelum parti itu boleh membincangkan peruntukan kerusi menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Muda masih belum menerima sebarang jawapan di sebalik telah menghantar empat surat kepada PH, dan menghadiri dua mesyuarat dengan pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Syed Saddiq.

‘Kamu bukan bayi kecil’

Fauzi juga membidas "ketidakmatangan" Muda yang memohon untuk bertanding di 15 kerusi sebelum perbincangan diadakan dengan majlis presiden PH sebelum pilihan raya umum ke-15.

“Syed Saddiq juga telah membuktikan dirinya tidak boleh dipercayai sebagai sahabat PH melalui tindakan khianat beliau meletakkan calon di kerusi DUN Larkin semasa pilihan raya Johor pada tahun 2022.

“Akibatnya berlaku pertembungan enam penjuru di kerusi tersebut sehingga PH terlepas peluang untuk memenangi kerusi DUN tersebut.

“Kemasukan Muda ke dalam PH juga dianggap tidak releven kerana ia tidak memberi nilai tambah kepada kekuatan PH, Muda hanya menumpang kekuatan PH untuk memenangi kerusi parlimen Muar semasa PRU-15,” katanya.

“Justeru apa gunanya Muda diterima masuk ke dalam PH jika mereka gagal membawa sebarang kekuatan tambahan, malah kemasukan mereka akan lebih merumitkan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri yang akan melibatkan enam buah negeri di semenanjung Malaysia sekitar Julai tahun ini,” katanya.

Daripada berterusan merungut dipinggirkan oleh PH, katanya, Muda harus memberi perhatian untuk membina kekuatan mereka dari segi keahlian dan struktur organisasi.

“Ingatlah peribahasa Melayu ada menyebut bahawa ‘harimau ditakuti kerana taringnya’.

“Justeru sedar diri dan baiki kelemahan sebelum melakukan sebarang desakan.

“Pimpinan Muda tidak boleh terus-menerus berteriak dan menagih simpati untuk kelangsungan parti mereka, anda bukan bayi kecil yang perlu dilayan sepanjang masa,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS