Paling Popular
Terkini

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjelaskan parti itu perlu menyelesaikan isu penyertaannya bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum membicarakan soal agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sehingga kini Muda tidak dipanggil untuk terbabit dalam soal agihan kerusi pilihan raya.

"Isu asasnya adalah penyertaan Muda dalam PH yang telah kita hantar sejak suku keempat tahun lepas, lama sebelum PRU15.

"Isu itu perlu diselesaikan dahulu kerana Muda telah memaklumkan niat kita dan apabila isu diselesaikan lebih mudah rundingan dengan PH kerana kita sudah berada dalam gabungan itu.

"Jadi, mengenai perancangan PRN Selangor, Muda memang telah adakan perbincangan dalam parti dan bila tiba masanya kita akan maklumkan mengenai pendirian kita.

"Tapi kita nak berikan ruang kepada kepimpinan PH dan Majlis Presiden untuk respon supaya kita dapat buat keputusan yang baik secara bersama untuk menjaga keharmonian kerajaan perpaduan," katanya ketika ditemui di Bangi malam tadi.

Syed Saddiq ditemui selepas sesi diskusi santai Auku: Apakah Pengakhirannya? Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut serta sebagai ahli panel, Exco Pemuda PAS, Nazrul Nazir dan aktivis politik, Farhan Khairuddin.

Syed Saddiq berkata dia juga telah bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung penyertaan Muda.

"Saya telah diberikan peluang dua kali berjumpa perdana menteri dan isu ini ada dibangkitkan dan perdana menteri kata bahawa ia perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH dan kita nantikan keputusan PH," tambahnya lagi.

Pada 9 Sep tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan bahawa Majlis Presiden PH telah menerima permohonan secara rasmi Muda bagi menyertai PH.

Permohonan itu dikemuka Syed Saddiq dengan DAP menilainya sebagai suatu yang positif serta menggambarkan keistimewaan PH.

Kata Loke, perkara itu akan dibincang di peringkat Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata Muda sudah menghantar empat surat kepada PH dan belum mendapat sebarang respon.

"Muda belum dipanggil lagi untuk sertai (PH) dan kita telah hantar empat surat kepada pemimpin PH dan kita tunggu respon," kata Syed Saddiq lagi.

Lihat Komen
ADS