mk-logo
Berita
Seleweng dana 1MDB - Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi
Diterbitkan:  Apr 26, 2023 8:08 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) telah memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas dakwaan bahawa mereka membantu menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1MDB untuk memperkayakan diri dan orang lain.

Ini berkaitan pemindahan AS$1 bilion pada 2009, dan AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011.

Dakwaan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland nampaknya merujuk kepada episod fasa Good Star dalam skandal 1MDB.

Siaran akhbar oleh OAG menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah merancang bersama ahli perniagaan Low Taek Jho - yang kini dalam buruan - untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan yang akhirnya akan menipu 1MDB.

Ini menyebabkan lembaga pengarah 1MDB bersetuju untuk memindahkan AS$1 bilion untuk projek usaha sama itu, yang mana AS$700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Switzerland yang dimiliki oleh Low.

Daripada AS$700 juta itu, OAG berkata Low memindahkan AS$85 juta kepada salah seorang tertuduh, dan dia kemudian memindahkan AS$33 juta kepada tertuduh lain.

Walaupun OAG tidak menamakan tertuduh, ini nampaknya merujuk kepada Tarek Obaid dan Patrick Mahoney (gambar, bawah).

Peguam Shafee Abdullah semasa perbicaraan 1MDB mengemukakan dokumen yang menunjukkan Tarek dan Mahoney masing-masing menerima AS$85 juta dan AS$33 juta daripada dana yang melalui firma Good Star.

Sementara itu, OAG berkata baki AS$300 juta daripada pemindahan 1MDB Sept 2009 telah disalurkan kepada Petrosaudi untuk manfaat syarikat terbabit.

Selanjutnya, pendakwaan Switzerland juga berkata kedua-dua tertuduh turut bersubahat membantu Low menipu 1MDB sebanyak AS$830 juta lagi antara Sept 2010 dan Okt 2011 daripada sumber nota Murabahah pinjaman Islam susulan usaha sama palsu itu.

Menurut OAG, dana yang diterima kedua-duanya digunakan untuk memperoleh hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk membangunkan aktiviti Petrosaudi yang menjana pendapatan besar, serta mengekalkan gaya hidup mewah.

Sementara itu, dalam rujukan jelas kepada aduan oleh pemberi maklumat Xavier Justo (gambar, bawah) terhadap bos Petrosaudi mengenai ugutan, pemerasan, pemenjaraan palsu dan lain-lain, OAG berkata ia memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

Ia antara lain memetik bahawa unsur-unsur kesalahan yang dilaporkan tidak dipenuhi, hak untuk memfailkan aduan terbatas pada tempoh masa tertentu, atau perkara yang dilaporkan tidak menimbulkan syak wasangka yang munasabah di bawah undang-undang.

Bagaimanapun, OAG menyatakan bahawa keputusan ini boleh dirayu kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland.

Tahun lalu, nama Tarek muncul beberapa kali dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, yang berdepan  empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak  RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Seorang saksi memberitahu mahkamah bahawa Najib telah bergambar dengan Tarek di atas kapal layar RM Elegance di Nice, Perancis pada Ogos, 2009.

Lihat Komen
ADS