Parti Amanah Negara (Amanah) secara terbuka memohon maaf kepada Umno berhubung kenyataan pengarah komunikasinya, Khalid Samad agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.
Bercakap kepada pemberita, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub membuat permohonan maaf itu sendiri kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
“Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah mohon maaf diatas kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi Amanah baru-baru ini dan sekiranya kenyataan itu menyinggung atau pun melukakan Umno maka kami minta maaf,” katanya ketika hadir majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, mengulas pendirian Amanah berhubung isu pengampunan Najib, Salahuddin berkata menjadi hak seseorang warga untuk meminta pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.
“Ia jelas bagi saya basic right seorang yang dikenakan hukuman dan saya pun pernah dikenakan hukuman oleh makhamah dan penjara.
“Itu hak kita untuk meminta pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.
“Jadi, kita pulangkan kepada Perlembagaan dan peraturan negara,” tegasnya.
Kebelakangan ini, timbul polemik antara pemimpin Umno dan Amanah berkaitan isu pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.
Pada 28 April lalu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dalam kenyataan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menolak permohonan pengampunan Najib dalam kes rasuah SRC International.
Sehari kemudian, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan "tidak sepatutnya" berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.
Umno Kelantan pula berkata pihaknya menimbang untuk tidak lagi bekerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya.
Kenyataan Khalid itu turut mendapat kecaman daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi yang berkata tindakan pemimpin Amanah itu menunjukkan parti itu tidak layak menjadi "sahabat perjuangan" dan tidak memberi jaminan kerajaan persekutuan boleh terus bertahan.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata menjadi lumrah dalam politik bila ada pemimpin yang terlanjur membuat kenyataan.
Bagaimanapun, kata Salahuddin pihaknya sudah memohon maaf.
“Kadang-kadang kita terlanjur dan tak ada malunya untuk kita mohon maaf sekiranya melukakan dan harap isu ini dapat diselesaikan dan saya sendiri bersama dengan presiden Umno dan sebentar tadi pun saya berkunjung timbalan presiden Umno menyatakan perkara yang sama,” katanya.
Menurut Salahuddin lagi, apa yang penting baginya kini adalah memperkukuhkan kedudukan parti dalam kerajaan dan rakyat.
“Kami sibuk sekarang ini untuk menyelesaikan isu rakyat dan kita sedang berdepan dengan enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kita beriltizam memperkukuhkan jentera kita, ukhwah kita dan kekuatan parti kita bersama dalam kerajaan perpaduan.
“Itu lebih penting bagi saya dan sebarang ketelanjuran itu biasa bagi orang politik,” katanya.