Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda pula bantah pengampunan pada Najib, tak akan minta maaf
Diterbitkan:  May 1, 2023 10:48 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula menyatakan pendirian supaya Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan yang dikemukakan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, berkata parti itu akan menentang sebarang usaha ke arah pengampunan terhadap Najib.

Jawatankuasa itu menyifatkan Najib sebagai seorang "kleptokrat" yang telah membawa kesusahan kepada negara, dan pengampunan terhadapnya akan memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

"Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah yang sama adakah mereka juga akan diberi keistimewaan ini?

"Pengampunan ke atas Najib tatkala dia baru sahaja menjalankan hukuman akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh, mempunyai hubungan kuasa tidak perlu gusar dengan undang-undang. Ini bercanggah dengan prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang.

"Ini bercanggah dengan prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Umno yang kini menjadi parti penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah memfailkan petisyen untuk memohon pengampunan terhadap Najib.

Tindakan itu memberi tekanan kepada Anwar yang turut berada dalam Lembaga Pengampunan - atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan - yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan itu.

Mengulas lanjut, Muda berkata pihaknya akan terus memerangi mana-mana pihak yang mahu "menyelamatkan kleptokrat".

"Sekali lagi kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah pendirian rasmi parti dan bukan pandangan atau pendapat peribadi individu di dalam parti.

"Kami tidak bercadang untuk memohon maaf atas pendirian ini," kata jawatankuasa itu.

Ia dilihat merujuk kepada tindakan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang meminta maaf susulan kenyataan yang dikeluarkan pengarah komunikasi parti itu, Khalid Samad yang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menolak permohonan pengampunan Najib dalam kes rasuah SRC International.

Kenyataaan itu mengundang rasa kurang senang pemimpin Umno sehinggakan presidennya Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan "tidak sepatutnya" berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.

Umno Kelantan pula berkata pihaknya menimbang untuk tidak lagi bekerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya.

Lihat Komen
ADS