Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalimah Allah: Keputusan kabinet bukan permintaan DAP - Loke bidas Muhyiddin
Diterbitkan:  May 18, 2023 3:00 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Penyelesaian isu penggunaan kalimah Allah di Sarawak di luar proses mahkamah merupakan keputusan kabinet dan bukan atas permintaan DAP seperti dakwaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dipetik Astro Awani berkata tindakan Muhyiddin mengaitkan DAP dengan isu itu adalah tidak adil.

"Siapa yang dia (Muhyiddin) maksudkan? Pada ketika itu saya juga ada dalam kabinet dan saya tak pernah bangkitkan isu itu.

"Malah, keputusan untuk cuba selesaikan isu itu di luar mahkamah sebenarnya keputusan kabinet dan mungkin dia tak hadir ketika mesyuarat Kabinet yang membuat keputusan itu," katanya di Seremban hari ini.

Loke berkata pada masa itu, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Muhyiddin semasa pentadbiran Pakatan Harapan 2018, tidak bersetuju dengan keputusan itu dan mahu ia dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Justeru katanya Muhyiddin tidak seharusnya meletakkan kesalahan kepada DAP semata-mata, yang jelas mempunyai tujuan politik tertentu.

"PN tiada modal selain memainkan atau mengapikan sentimen perkauman dan agama.

"Seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri yang kabinet secara tegas mempertahankan bahawa isu agama perlu ditangani dengan sensitif dan baik," katanya.

Loke yang juga ahli parlimen Seremban berkata kabinet selaku pembuat keputusan tertinggi di negara ini sentiasa mempertahankan agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, isu itu perlu ditangani dengan baik dan harmoni di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

"Jadi kita harap isu-isu seperti ini diuruskan dengan berhemah dan baik tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," katanya.

Penjelasan Loke bagi menjawab dakwaan Muhyiddin bahawa ada menteri DAP yang pernah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

Gambar fail.

Ini ketika Muhyiddin menjadi menteri dalam negeri ketika era pentadbiran PH pada 2019.

Muhyiddin mendakwa dia menolak cadangan itu kerana Kementerian Dalam Negeri mahu kes Ireland diselesaikan di mahkamah.

Semasa PH memerintah, Ireland - seorang Kristian Melanau - sedang menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai permohonannya untuk pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan kalimah "Allah".

Kes itu diputuskan memihak kepada Ireland pada 2021 ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Penipu, pengecut jika tak sebut siapa

Bekas menteri kerja raya era PH Baru Bian - yang juga ahli PKR ketika itu - berkata selepas keputusan mahkamah berkenaan kabinet telah memutuskan untuk menyelesaikan kes Ireland di luar mahkamah pada 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut mencabar Muhyiddin Yassin untuk menamakan menteri terbabit yang didakwanya itu.

“Saya cabar dia menamakan orang itu. Jika dia gagal menyebut siapa menteri itu, dia penipu dan pengecut,” kata Lim kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS