Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8 Ogos pendengaran rayuan Sapura enggan serah dokumen pada Rafizi
Diterbitkan:  May 26, 2023 2:37 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan Sapura Energy Bhd (SEB) untuk tidak menyerahkan dokumen mengenai bekas CEO syarikat itu Shahril Shamsuddin kepada Rafizi Ramli.

Peguam menteri ekonomi itu, Navpreet Singh mengesahkan penetapan tarikh pendengaran itu semasa pengurusan kes rayuan SEB awal hari ini.

“Pendaftar yang arif (Mahkamah Tinggi) memberi arahan untuk memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 11 Julai dan serahan jawapan selewat-lewatnya pada 25 Julai,” kata peguam itu ketika dihubungi media hari ini.

SEB merayu keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 14 April, yang sebahagiannya membenarkan permohonan penemuan Rafizi terhadap syarikat itu.

Hakim Lailatul Zuraida Haron memberikan keputusan itu dalam permohonan pihak ketiga Ahli Parlimen Pandan Rafizi untuk mengukuhkan pembelaannya terhadap saman fitnah Shahril.

Shahril, yang kini presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, menyaman timbalan presiden PKR itu berhubung dakwaan bahawa imbuhan plaintif terlalu tinggi dengan mengambil kira masalah kewangan SEB.

Inti pernyataan pembelaan Rafizi mengatakan dia bersedia membuktikan di mahkamah dakwaan kebenaran kandungan tiga artikel dalam talian yang menjadi asas terhadap tindakan saman fitnah itu.

Tuntutan itu ke atas tiga artikel yang didakwa berunsur fitnah yang dimuatkan di blog Rafizi antara 31 Mac dan 4 April tahun lepas.

Tiga artikel itu merupakan sebahagian daripada perdebatan dalam talian Rafizi ketika itu dengan bekas perdana menteri Najib Razak mengenai sama ada wajar atau tidak dana awam digunakan untuk menyelamatkan SEB dan mengenai punca masalah kewangan syarikat.

Antara isu yang menjadi inti perdebatan ialah sekiranya imbuhan Shahril sebagai CEO SEB ketika itu adalah berlebihan.

Pada 18 Mac, Bernama melaporkan SEB mengalami kerugian RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, dan anak-anak syarikatnya telah diberikan petisyen penggulungan.

Plaintif Shahril diwakili peguam daripada firma guaman Zul Rafique & Partners.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS