Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO Sapura Energy saman Rafizi
Diterbitkan:  Jun 1, 2022 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Rafizi Ramli yang baru menang sebagai timbalan presiden PKR telah disaman berhubung isu bail out Sapura Energy Bhd (SEB).

Menurut Rafizi, dia telah menerima writ saman daripada peguam yang mewakili bekas CEO Sapura Energy Shahril Shamsuddin pada 11 Mei lalu.

"Writ itu adalah untuk mengesahkan bahawa Tetuan Zul Rafique & Partners, peguam kepada Shahril Shamsuddin telah memfailkan saman terhadap saya di mahkamah berhubung kenyataan saya ekoran desakan Najib Razak agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.

"Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan saya di mahkamah kerana ia adalah untuk melindungi kepentingan awam," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut hantaran itu, dia diwakili peguam Ranjit Singh daripada firma Ranjit Singh & Yeoh.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ranjit mengesahkan writ saman yang diterima bekas ahli parlimen Pandan itu.

Ketika isu berkenaan SEB hangat diperkatakan, Rafizi dilihat lantang membangkitkan masalah yang dihadapi syarikat itu dan mengkritik cadangan Najib agar kerajaan menyelamatkannya.

Rafizi berkata lagi, saman tersebut akan menjadi "titik mula" dalam usaha memastikan pelaburan rakyat dalam institusi pelaburan awam seperti PNB, KWSP, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam.

"Dalam struktur ekonomi yang melibatkan banyak pelaburan dana rakyat yang besar di dalam syarikat swasta senarai awam, kerangka urus tadbir pelaburan awam mestilah lebih ketat untuk mengelakkan dana simpanan rakyat kerugian apabila syarikat-syarikat ini mengalami kerugian besar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS