Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
  • Nota pengarang: Pindaan dibuat terhadap artikel ini bagi memasukkan respons Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) dan demi memberikan kejelasan bahawa penutupan melibatkan beberapa entiti bawah kumpulan Panasonic dan bukan PMMA sahaja. Kesilapan adalah dikesali.

    Dalam
    kenyataan terkini, Panasonic menegaskan lagi komitmennya untuk terus melabur di Malaysia.


Bagi pengguna Lebuh Raya Persekutuan, kilang Panasonic di tepi lebuh raya merupakan satu bangunan yang dikenali.

Ditubuhkan pada 1965 sebagai Matsushita Electric Company Malaysia Bhd dan dinamakan semula sebagai Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) pada 2005, firma Jepun itu menggajikan lebih 2,000 pekerja di pelbagai kilang di seluruh Malaysia pada kemuncak perniagaannya.

Walau bagaimanapun, kumpulan Panasonic di Malaysia, yang termasuk PMMA, kini berdepan pelbagai cabaran.

Dalam pada itu, PMMA kalah dua kes tuntutan di mahkamah tahun lalu, yang mana ia mendakwa bekas pembekalnya, pengarah eksekutif Chen Ah Huat dan pekerja, menipunya berjuta-juta ringgit sebagai bayaran untuk kerja yang tidak dapat disahkan telah disiapkan.

Sumber maklumat mengenai perkara itu mendedahkan bahawa pengarah eksekutif PMMA ketika itu Chen telah dipecat pada 2013, dan seterusnya 15 pengurus juga telah ditamatkan perkhidmatan.

Syarikat itu juga melancarkan piagam sifar rasuah yang menekankan ketelusan, integriti dan melindungi pemberi maklumat.

Beberapa bulan selepas ia kalah dalam kes di mahkamah itu, PMMA menutup operasi pembuatan peralatan dapurnya di kilang SA1nya, yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, pada 17 Mac, menjejaskan 75 pekerja tempatan.

Enam puluh daripada pekerja itu diberhentikan melalui skim pemisahan bersama (MSS) manakala 15 lagi dipindahkan ke jabatan lain.

Namun begitu, PMMA berkata maklumat yang diberikan kepada Malaysiakini tersebut adalah “tidak tepat dan tidak dipastikan”.

Tiada kaitan kes saman sivil

Dalam laporan tahunannya, PMMA tidak mengaitkan penutupan itu dengan tindakan undang-undang berkenaan, sebaliknya merujuknya kepada penjajaran semula pengeluaran global oleh Kumpulan Panasonic.

Syarikat itu juga memetik peningkatan kos buruh dan berkata ia menyasarkan untuk terus mengguna pakai automasi dalam mencapai status 'Kilang Pintar' pada 2030.

Sepanjang lima tahun lalu, syarikat itu telah memberhentikan 689 pekerja tempatan, termasuk pekerja khidmat sumber luar dan kakitangan sementara dan menghantar pulang 392 pekerja asing.

Bagaimanapun, Panasonic juga mewujudkan 63 pekerjaan baru untuk penduduk tempatan pada 2020, menurut laporan syarikat itu.

Banyak lagi kilang nak tutup

Malaysiakini difahamkan penutupan beberapa jabatan di Kilang SA1 bukanlah yang terakhir pada tahun ini bagi kumpulan Panasonic di Malaysia.

Di Melaka, syarikat Panasonic Appliances Refrigeration Devices Malaysia Sdn Bhd dipercayai turut akan ditutup menjelang akhir tahun.

Kilang di Melaka itu, yang ditubuhkan pada Disember 1992, akan berpindah ke China manakala 500 warga tempatan dan 95 pekerja asing di Malaysia akan diberhentikan, kata sumber syarikat tersebut.

Panasonic AVC Networks Johor Malaysia Sdn Bhd juga difahamkan akan membuat pengaturan untuk penutupan sebelum akhir tahun, tetapi tidak jelas berapa ramai pekerja akan terjejas.

Semasa perhimpunan kakitangan PMMA baru-baru ini, Kenji Kamada, pengarah urusan yang memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula PMMA, mengumumkan peralihannya kepada Panasonic Appliances Air Conditioning (M) Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Jun.

Sesetengah pekerja bimbang ini bermakna Panasonic Appliances Air Conditioning (M) Sdn Bhd, yang menggaji 6,000 orang, juga mungkin menjalani penstrukturan semula.

PMMA, sebuah syarikat tersenarai awam, pada 2022 turut menempatkan semula jabatan pembuatan periuk nasinya di kilang SA1 ke India, dengan memberhentikan 150 pekerja warga Malaysia.

"Operasi (di Kilang SA1) berjalan pada tahap minimum," kata sumber itu.

Sebaliknya, pada tahun 2005, pendapatan kumpulan dari Malaysia sahaja berjumlah lebih RM342 juta, mengatasi hasil operasi dari China, Timur Tengah dan bahagian lain Asia yang digabungkan.

Hari ini, sumbangan Malaysia kepada pendapatan kumpulan itu ialah RM306 juta, mengekori baki pendapatan Asia terkumpul sebanyak 2.69 peratus.

Di Kilang SA2, yang terletak di Seksyen 23, Shah Alam, jabatan pembuatan seterika elektrik Panasonic mengalami kerugian dan dijadualkan untuk menghentikan operasi pada akhir tahun ini.

“Produk seterika elektrik tidak menguntungkan. Penutupan itu akan menjejaskan kurang daripada 200 pekerja,” kata sumber itu.

Namun begitu, PMMA berkata kenyataan sumber tersebut adalah “tidak tepat dan berbentuk spekulasi”.

Terdapat juga kebimbangan di kalangan pekerja di jabatan yang membuat peralatan lain bahawa pekerjaan mereka juga berisiko terjejas, kerana selama ini, pembuatan untuk 11 produk Panasonic telah dipindahkan dari Kilang SA1 dan SA2 ke negara Asia yang lain.

Pengeluaran jatuh, pendapatan rendah

Difahamkan jabatan pembuatan kipas juga menghadapi masa depan yang suram, dengan ramalan rancangan pembuatan menunjukkan pengeluaran lebih separuh daripada 350,000 unit sebulan pada tahun lepas kepada sekitar 110,000 unit sebulan sekarang.

Penurunan drastik itu, bagaimanapun, tidak mencerminkan penurunan sedikit pada kadar 0.5 peratus dalam permintaan global untuk produk Sistem Ekologi Panasonic (PES), yang termasuk kipas, menurut sumber itu.

Namun, menurut PMMA, kenyataan tersebut tidak tepat kerana syarikat itu mengeluarkan purata 360,000 unit kipas sebulan.

Pemotongan pengeluaran telah menjejaskan pendapatan bulanan pekerja sebanyak 40 peratus, dengan pekerja kehilangan hasil kerja lebih masa.

Dahulu, pekerja akan melakukan kerja lebih masa sehingga empat jam setiap hari untuk memenuhi permintaan, tetapi pada tahun ini tugasan mereka akan tamat pada pukul 5 petang setiap hari, kata sumber itu.

Namun, PMMA berkata jumlah kerja lebih masa telah dikurangkan kerana “normalisasi produksi”, dan mengikut piawaian buruh antarabangsa untuk hal tersebut.

Panasonic sahkan penutupan: Pekerja dilayan adil

Bercakap kepada Malaysiakini, jurucakap PMMA mengesahkan penutupan dua jabatan pembuatan produk di Kilang SA1, menyebutnya sebagai "pelaksanaan rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan.”

Proses itu, katanya, telah selesai pada 31 Mac.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan jumlah sebenar pekerja yang terjejas akibat pemberhentian itu, rancangan masa depan untuk penutupan atau jika penutupan tersebut akan menjejaskan jaminan kepada pengguna terhadap produk Panasonic.

Katanya, pekerja yang memilih skim pemisahan bersama (MSS) diberi pakej pampasan yang adil dan saksama, yang menurutnya disifatkan melebihi norma industri.

“Bagi baki bilangan pekerja yang tidak memilih MSS, jabatan sumber manusia kami memberikan mereka tawaran untuk dipindahkan ke jabatan lain yang berkaitan dalam PMMA, dalam jawatan yang sesuai dengan set kemahiran dan potensi mereka untuk berkembang.”

Jurucakap itu juga menjelaskan bahawa tindakan undang-undang PMMA terhadap bekas vendor dan kakitangannya tidak berkaitan dengan pemberhentian pekerja berkenaan.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa kes mahkamah telah berjaya diselesaikan."

Ketika dihubungi, Jabatan Buruh berkata ia tidak boleh mendedahkan secara terbuka jumlah pekerja yang telah diberhentikan atau akan diberhentikan daripada kumpulan Panasonic.

Kesatuan sekerja tak tahu

PMMA berkata pemberhentian pekerja dibuat berlandaskan peraturan dan wakil kesatuan sekerja telah dimaklumkan.

Tetapi ketika dihubungi Malaysiakini, wakil kesatuan sekerja berkata mereka tidak tahu menahu mengenai beberapa perkara, walaupun selepas beberapa pekerja menyelesaikan syif terakhir mereka pada bulan Mac.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (EIWU) Md Zaimi Muhamad Yusuf juga terkejut apabila mengetahui ahli kesatuannya ditawarkan pakej pemberhentian kerja dan berkata dia tidak mengetahui penutupan jabatan itu.

Walaupun syarikat itu tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada kesatuan sekerja mengenai rancangan pemberhentian pekerjaan yang dipersetujui bersama, Zaimi berkata EIWU perlu diberi tahu demi memastikan ahli yang menolak pakej tersebut tidak dikenakan hukuman.

“Ahli kami yang tidak menerima skim pemisahan boleh ditugaskan ke jawatan di bawah gred semasa mereka.

“Sekiranya mereka ditempatkan dalam pekerjaan melebihi gred mereka, mereka perlu menerima elaun tambahan yang dikenali sebagai elaun pemangku,” katanya.

Latihan pada pekerja kilang di Melaka bakal diberhenti

Sementara itu, Zaimi mengesahkan bahawa Panasonic Appliances Refrigeration Devices Malaysia Sdn Bhd memaklumkan kesatuan itu akan menutup operasi kilang berkenaan di Melaka pada 31 Disember.

Penutupan itu bakal memberhentikan 590 ahli kesatuan sekerja industri berkenaan. Kilang itu akan berpindah ke China.

Perjanjian kolektif kesatuan dan majikan

Ahli kesatuan sekerja akan menerima bayaran pemberhentian sebanyak 1 hingga 1.75 kali ganda gaji asas bulanan didarab dengan tahun perkhidmatan mereka, katanya.

Zaimi berkata syarikat itu juga menawarkan untuk menyediakan latihan semula kepada pekerja yang sudah lama berkhidmat, yang mungkin menghadapi masalah mencari pekerjaan lain.

“Syarikat telah memaklumkan lebih awal kepada kesatuan sekerja mengenai pengurangan tenaga kerja melalui pemberhentian pekerjaan, walaupun syarikat hanya perlu memberi notis sebulan saja.

“Syarikat telah mengesahkan bahawa pihaknya akan mematuhi terma dalam perjanjian kolektif dengan kesatuan.

“Selain itu, syarikat berkenaan juga telah berjanji untuk meneroka kemungkinan melanjutkan penggajian pekerja yang bakal bersara sebelum Disember, yang akan membolehkan dia menerima faedah pemberhentian juga,” kata Zaimi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS