Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panasonic komited terus melabur di Malaysia
Diterbitkan:  Jul 28, 2023 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Bertentangan dengan laporan media bahawa Panasonic akan menutup operasi di Malaysia, syarikat itu sebaliknya komited untuk terus melabur di negara ini dan menyumbang kepada ekonomi serta rakyatnya.

Panasonic menganggap Malaysia sebagai hab serantau yang strategik dan penting serta destinasi pelaburan yang kukuh. Setakat Mac 2023, Panasonic mempunyai 18,000 pekerja melibatkan pelbagai entiti perniagaan di Malaysia, termasuk pengilangan bernilai tinggi, R&D dan operasi ibu pejabat.

Dalam pengilangan saja, Panasonic menggajikan hampir 16,800 orang. Kumpulan Panasonic menyumbang kira-kira satu peratus untuk KDNK Malaysia dan pelaburan modal keseluruhannya di Malaysia sebanyak RM1.23 billion setakat 31 Mac 2023.

Panasonic mahu memperkukuhkan perniagaannya dalam bidang yang dijangka terus berkembang, seperti automotif, alam sekitar serta kesihatan dan kesejahteraan. Pengembangan jangka pendeknya di negara ini termasuk pembinaan R&D baru untuk pendingin hawa dan sistem pam pemanas udara ke air serta meningkatkan pengeluaran kapasitor automotif di Lembah Klang.

Keputusan awal untuk menutup dua jabatan Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (PMMA)—periuk nasi dan perkakas kecil dapur—dibuat selepas pertimbangan mendalam supaya selari dengan pengeluaran global Kumpulan dan rancangan pertumbuhan strategik, serta untuk mempertingkat kecekapan operasi. Penutupan itu tidak melibatkan saman pekerja dan pembekal seperti didakwa dalam beberapa laporan media.

Amalan rasionalisasi ini melibatkan 223 pekerja. Daripada jumlah ini, sebanyak 95 orang memilih skim pemisahan bersama (MSS) dan selebihnya (128 lagi) ditugaskan semula ke jabatan lain.

Pekerja yang memilih MSS menerima pakej pampasan yang adil dan saksama, sementara mereka yang ditugaskan semula diberi peluang untuk pemahiran semula dan latihan bagi membantu mereka mendapatkan kebolehan baru serta mahu dalam kerjaya.

Panasonic terus mahu membangun dan mengembangkan perniagaan dalam persekitaran pro-enterprise, sama ada di peringkat serantau dan global, yang selari dengan dasar dan strateginya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS