Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
108 ventilator tak sesuai: Tambah baik prosedur perolehan, kata KKM

Kerajaan perlu menambah baik prosedur perolehan semasa darurat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Lukanisman (Sibuti-GPS), ia bagi membolehkan dana awam tidak lagi dibazirkan seperti yang berlaku dalam perolehan lebih 100 mesin ventilator pada 2021.

"Saya bersetuju dengan pandangan (ahli parlimen) Jelutong berkenaan tentang proses perolehan.

"Sekiranya kita berdepan sekali lagi dengan darurat, kita memerlukan satu proses (perolehan) yang teratur dan juga dapat mewujudkan satu perjanjian (dengan pembekal peralatan).

"Memandangkan apa yang berlaku adalah kita tak ada perjanjian yang khusus berkenaan pemilikan ventilator ini

"Saya harap PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) nanti dapat mengadakan prosiding berkenaan isu yang tersebut," katanya.

Lukanisman menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh RSN Rayer (Jelutong-PH) mengenai perolehan ventilator oleh kerajaan persekutuan semasa darurat kesihatan dua tahun lalu.

Ventilator adalah peralatan bagi menyelamatkan nyawa dan mendapat permintaan tinggi semasa kemuncak pandemik Covid-19, yang mendorong kerajaan menempah sebanyak 136 unit peralatan itu pada 2021.

Bagaimanapun, 108 daripada mesin yang dibekalkan kepada Kementerian Kesihatan didapati tidak sesuai dan tidak selamat digunakan.

Keadaan ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM13 juta, menurut audit oleh Jabatan Audit Negara.

Menurut Lukanisman, wabak itu menyaksikan persaingan oleh kebanyakan negara untuk mendapatkan mesin ventilator, yang menyebabkan pembekal mengambil kesempatan dengan menaikkan harganya sehingga 400 peratus.

Sekatan perjalanan akibat wabak koronavirus juga telah menghalang pegawai KKM daripada melawat pembekal peralatan di China, dan mereka terpaksa membuat pesanan hanya berdasarkan risalah dan katalog yang dihantar oleh syarikat itu.

"Berdasar pekeliling perbendaharaan pengurusan belanjawan, garis panduan perbelanjaan darurat AP55 dan perolehan darurat 173.2 yg kini dikemaskini MOF sebagai AP169A, tiada keperluan KKM untuk menyediakan sebarang dokumen perjanjian bagi perolehan secara perolehan darurat ini.

"Ini juga merupakan salah satu punca mengapa mungkin pembekal berdasarkan keadaan darurat tersebut telah mengambil kesempatan untuk menyediakan peralatan ventilator yang tidak memenuhi spesifikasi yang kita pohonkan," katanya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021, KKM telah membeli 136 ventilator pada tanda harga RM20.1 juta di bawah peruntukan darurat.

Bagaimanapun, kementerian kemudiannya mendapati ada di antaranya tidak sesuai digunakan.

Berikutan itu, kerajaan terpaksa membelanjakan RM3.97 juta lagi untuk kerja-kerja menaik taraf oleh syarikat yang sama, menjadikan jumlah kos bagi perolehan ventilator meningkat kepada RM24.07 juta.

Audit JAN terhadap perolehan Covid-19 Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa hanya 28 ventilator dianggap selamat untuk digunakan pada pesakit.

Lihat Komen
ADS