mk-logo
Berita

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Ahmad Maslan adalah punca apa yang disifatkannya sebagai kegagalan Umno pada hari ini.

Dia berkata demikian ketika membuat kehadiran mengejut di Perhimpunan Agung Umno 2023 ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, meskipun keanggotaannya digantung selama enam tahun bermula tahun lalu.

Tajuddin mendakwa Ahmad ketika menjadi setiausaha Agung Umno tidak memberi nasihat yang sewajarnya kepada Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi presiden pada saat parti berada dalam keadaan lemah.

“Dia hanya mendengar segelintir orang di sekelilingnya sahaja. Dia gagal dengar suara akar umbi.

"Ahmad Maslan itu tak boleh pakai. Dia budak muda. Aku lebih tua daripada dia. Dia ini suka publisiti. Hari-hari nak cakap. Dia jadi setiausaha agung Umno punah, masalah macam-macam.

"Dia gagal sebagai setiausaha agung Umno, dia tidak menjadi penasihat yang betul kepada presiden. Itu Zahid pernah cerita kita, pemimpin-pemimpin ini ada ramai penasihat, tapi ada juga punah sihat.

"Keliling itu ada yang bagus ada yang tak bagus. Kena dengar akar umbi di bawah, jangan dengar orang keliling sahaja yang mengampu macam Maslan ini," katanya ," katanya kepada pemberita di Riverside Cafe & Restaurant, di WTC Kuala Lumpur.

Tajuddin turut menyindir setiausaha agung Umno yang baru Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dia mempunyai tanda-tanda sama seperti Ahmad.

"Setiausaha agung sekarang kena tengok dulu. Tapi, dia ada tanda-tanda (seperti) setiausaha (Ahmad) dulu, lebih kurang sama sahaja," katanya.

Terdahulu, Tajuddin yang juga bekas ahli parlimen Pasir Salak berkata bahawa dia hadir ke PAU 2023 secara sukarela.

Namun, katanya dia tidak memasuki Dewan Merdeka untuk hadir sesi perbahasan.

"Yang presiden dan setiausaha kata pemimpin yang digantung boleh hadir. Tapi, tak kata boleh masuk ke dalam Dewan (Merdeka)," katanya.

Gambar fail, perhimpunan PAS-Umno di Pasir Salak, 2018.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata inisiatif proklamasi Melayu yang digerakkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bukanlah sesuatu yang baru.

Katanya, dia sudah pun terlebih dahulu mengusahakan himpunan penyatuan orang Melayu pada 2018.

"Dia (Mahathir) lewat. Saya lagi dulu dari dia.

“Tahun 2018 saya mula anjurkan penyatuan ummah, kumpulkan Melayu-Melayu semua.

Ingat Dr Mahathir pandai ke?

"Saya mengumpulkan semua orang Melayu di Pasir Salak yang berjumlah lebih 50,000 orang.

“Malah, (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang datang ke rumah saya dan berdiri di atas pentas dan memberi ucapan kepada orang ramai.

"Dr Mahathir itu kamu ingat pandai ke? Dia naik sebab kita angkat dia," katanya lagi.

Namun, Tajuddin berkata Umno dan PAS tidak memelihara perpaduan masyarakat Melayu yang telah digabungkan menerusi Muafakat Nasional (MN) sehingga mencetuskan perpecahan semula.

"Satu nikmat yang tuhan bagi penyatuan Melayu. Pemimpin Umno dan PAS tak jaga.

“Jawatankuasa bersama antara Umno dan PAS yang dibentuk oleh Zahid untuk menguruskan Muafakat Nasional.

"Piagam ditandatangani. Makcik-makcik menangis gembira. Tapi, sangat sedih apa yang telah berlaku sekarang. Melayu berpecah belah," katanya.

Lihat Komen
ADS