Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rahmat: Hak asasi dalam 'konteks tempatan' selaras perlembagaan

Suhakam tetap berada di barisan hadapan dalam mempertahankan prinsip hak asasi manusia selagi ia konsisten dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata ketua pesuruhjayanya, Rahmat Mohamad.

Rahmat, yang baru melengkapkan tahun pertama memegang jawatan itu, berkata sejak awal lagi, dia menekankan peranan suruhanjaya itu untuk menegakkan hak asasi manusia dalam "konteks tempatan" seperti yang diperuntukkan dalam Akta Suhakam 1999.

"Tetapi saya mungkin gagal dalam menghuraikan konteks tempatan," akuinya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

“Ia adalah tindakan mengimbangi yang perlu kita mainkan.

“Walaupun kita menerima Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, dan Matlamat Pembangunan Mampan, pada masa yang sama, bagi Malaysia, Akta Suhakam sendiri menyatakan bahawa ia adalah 'selagi ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan'," katanya.

Bekas profesor undang-undang itu berkata pelbagai peruntukan berkaitan hak asasi manusia di bawah Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada pengecualian undang-undang, dan oleh itu arah tuju Suhakam juga adalah selari dengan fakta itu.

Sebelum ini pelantikan Rahmat sebagai ketua pesuruhjaya Suhakam menerima kritikan daripada masyarakat sivil yang mempersoalkan peranannya dalam meyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu bagi menolak Statut Rom.

Perjanjian oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu memberi tumpuan kepada pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah pencerobohan.

‘Malaysia belum bersedia’

Rahmat juga menegaskan bahawa Malaysia pada masa itu belum bersedia menandatangani perjanjian itu, dan sejak itu, sedikit usaha dibuat oleh penggubal undang-undang yang dipilih untuk menjelaskan kepada pengundi mereka mengenai kesan daripada perjanjian tersebut.

"Apabila kerajaan mahu meratifikasi sebarang perjanjian atau konvensyen berkaitan hak asasi manusia, terdapat isu asas yang mesti dilakukan terlebih dahulu," katanya sambil menambah bahawa ini termasuk memahamkan rakyat sebarang kesan jangka panjang.

Mengenai Statut Rom, Rahmat berkata dia mencadangkan Malaysia menggubal undang-undang sendiri dalam semangat yang sama tetapi tanpa melibatkan "isu sensitif" seperti kekebalan diraja.

Menjawab kebimbangan amalan menerapkan konteks Malaysia mungkin mengetepikan kumpulan rentan, terutamanya komuniti LGBTQ+n, Rahmat menafikannya, sambil menekankan "hak asasi manusia adalah hak asasi manusia".

“Ini bermakna jika hak asasi manusia mana-mana rakyat Malaysia dilanggar, Suhakam akan berada di barisan hadapan.

“Tiada persoalan kumpulan tertentu dipinggirkan, tidak!” kata Rahmat, yang menambah Suhakam juga mempunyai tumpuan lain yang mendesak.

Secara khusus, Rahmat menyebut mengenai isu yang berkaitan dengan usaha membasmi kemiskinan - yang pertama daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB.

Dia berkata ini adalah tambahan kepada usaha Malaysia dalam mencapai SDG yang lain, termasuk hak untuk mendapat udara dan alam sekitar yang bersih.

“Malaysia komited untuk menguatkuasakan SDG... Tetapi nampaknya tidak banyak tindakan diambil sedangkan ini adalah hak asasi manusia, bukan?

“Jadi saya tidak mahu kita diselubungi dengan begitu banyak isu (lain) yang menghalang kita daripada terus maju. Saya diberi mandat sehingga 2025, dan saya ingin teruskan,” katanya.

Rahmat berkata keutamaan segera Suhakam termasuk melihat isu mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan dan membantu kerajaan dalam membangunkan pengkategorian untuk pelarian.

“Ini adalah beberapa isu di mana saya rasa saya terbeban, (jadi) saya tidak mahu diganggu oleh semua isu peribadi ini,” tambahnya di tengah-tengah desakan supaya dia mengambil cuti sementara menunggu siasatan terhadapnya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan perkauman.

Siasatan terhadap Rahmat

Dalam temu bual di ibu pejabat Suhakam pada 27 Jun, Rahmat turut mengisytiharkan bahawa dia "tiada apa-apa untuk disembunyikan" dan bersedia untuk disiasat oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHHEU) Jabatan Perdana Menteri.

Ini selepas Suhakam berkata ia akan merujuk aduan terhadap Rahmat dan aduan lain mengenai "aktiviti dalaman" yang tidak melibatkannya kepada BHHEU untuk "nasihat dan arahan" bagi memastikan siasatan kekal "telus dan bebas".

Dalam satu kenyataan hari ini, Asian NGO Network dan Suaram sekali lagi mengulangi gesaan agar Rahmat mengambil cuti sementara menunggu hasil siasatan.

Kumpulan itu juga menggesa Suhakam memberikan maklumat terkini mengenai kemajuan inkuiri suruhanjaya itu dan bersikap telus mengenai identiti serta kelayakan badan luar yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan.

Lihat Komen
ADS