Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah melakukan rundingan hampir dua dekad, Indonesia dan Malaysia akhirnya bersepakat untuk melukis garis batas yang dipersetujui di selatan Selat Melaka dan melakar garis sempadan laut wilayah di Laut Sulawesi.

Perjanjian ini adalah sebahagian daripada beberapa triti yang ditandatangani oleh kedua-dua negara sewaktu lawatan Presiden Joko Widodo ke Malaysia pada Khamis, 8 Jun 2023. 

Apakah benar Malaysia ‘menjual’ kedaulatan wilayah maritim negara kepada Indonesia? 

Perjanjian Persempadanan Wilayah Laut

Baru-baru ini, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani perjanjian sempadan wilayah laut di Selat Melaka dan Laut Sulawesi. Bagaimanapun, perjanjian ini tidak melibatkan persempadanan zon ekonomi eksklusif (EEZ) antara kedua-dua negara di Selat Melaka serta pembatasan pelantar benua di blok Ambalat. 

Walaupun sesetengah pihak mendakwa ini adalah satu langkah ‘menjual’ kedaulatan negara, inisiatif ini sebenarnya boleh memelihara seterusnya memulihara hubungan baik yang terjalin sekian lama di antara Jakarta dan Putrajaya. 

Tindakan ini sangat tepat kerana negara tidak perlu merujuk kepada pertimbangan pihak ketiga menerusi Tribunal Antarabangsa Undang-undang Laut (ITLOS) ataupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

Dalam sesuatu rundingan, tidak akan ada pihak yang boleh menang semuanya. Senario ini berlainan sekiranya kes ini, sebagai contoh, diputuskan oleh ICJ. 

Indonesia mungkin masih teringat kepada kekalahan mereka pada tahun 2002 apabila ICJ memutuskan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan adalah bersama Malaysia. 

Malaysia juga sehingga kini sulit untuk menerima kehilangan Batu Puteh ke tangan Singapura pada tahun 2008, juga diputuskan oleh ICJ. 

Apabila ICJ memutuskan bahawa Candi Preah Vihear milik Cambodia pada tahun 1962, kekacauan meletus di antara Cambodia dan Thailand sehinggalah pertikaian ini diselesaikan pada tahun 2011. 

Oleh itu, rundingan adalah penting dan menerusi rundingan, Malaysia dan Indonesia telah berkompromi dalam membatasi tuntutan wilayah maritim tanpa perlu membangkitkan rasa tidak puas hati, membolehkan kedua-dua negara menikmati situasi menang-menang. 

Ini bukanlah kali pertama Malaysia dan Indonesia telah bersepakat dalam memuktamadkan sempadan maritim. Sebelum ini, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani perjanjian sempadan pelantar benua dan wilayah laut di Selat Melaka tahun 1969 dan 1970 masing-masing tanpa banyak kesulitan. 

Sekiranya ini dapat dilakukan dahulu, kenapa tidak juga sekarang?

Berkompromi dalam membatasi

Sempadan maritim yang diusahakan oleh Malaysia dan Indonesia adalah hasil daripada beberapa siri proses rundingan. 

Pada awalnya ia akan dimulai oleh tuntutan sepihak atau unilateral oleh kedua-dua negara dengan mempamerkan garis batas mana yang ingin dituntut. 

Selalunya akan terdapat perbezaan garis sempadan yang dituntut lantas mengakibatkan wujudnya tuntutan yang bertindan. Rundingan dilakukan bagi menangani tuntutan bertindih di antara kedua-dua negara ini. 

Pastinya, negara yang menuntut, di awal rundingan akan melakukan sedaya upaya bagi meyakinkan pihak yang satu lagi untuk menerima cadangannya. 

Sering terjadi bahawa tiada pihak yang akan menerima cadangan pihak yang satu lagi tanpa sebarang bantahan. 

Lalu rundingan akan terus berjalan sehinggalah garis batas yang telah dikompromi dapat dipersetujui. 

Lumrah rundingan adalah sebegini – sesuatu pihak itu akan mendapatkan lebih sedikit daripada apa yang dari awalnya dituntut. Hanya dengan ‘mengambil dan memberi’, kedua-dua negara boleh terus maju ke hadapan dalam menyelesaikan masalah pertindihan tuntutan maritim yang lain. 

Bagi merealisasikan apa yang telah dipersetujui pada Jun 2023, sudah pasti Malaysia dan Indonesia telah melakukan yang terbaik dalam mencapai kata putus bagi kedua-dua pihak. 

Walaupun perjanjian ini belum lagi boleh diakses oleh orang awam, apa yang pasti adalah garis batas yang dipersetujui tersebut adalah kompromi yang terbaik yang dapat dipersetujui kedua-dua pihak. 

Oleh itu, Malaysia tidak ‘menjual’ kedaulatan kepada Indonesia dan begitu juga sebaliknya. 

Rundingan yang berakhir dengan Perjanjian tahun 2023 ini membuktikan bahawa rundingan adalah cara terbaik bagi dua negara berjiran menyelesaikan masalah dengan damai tanpa persengketaan. 

Sebagai jiran yang dekat, melukis garis batas yang jelas adalah cara yang terbaik bagi menghormati kedaulatan antara satu sama lain, seperti mana yang diperkatakan oleh sang pujangga dari Amerika Syarikat, Robert Frost, ‘Pagar yang tersusun mencipta jiran yang rukun’. 


MOHD HAZMI MOHD RUSLI adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan I MADE ANDI ARSANA adalah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Geodetik, Universitas Gadjah Mada, Indonesia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS