Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri mahu teliti EIA projek lapangan terbang Tioman

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya perlu meneliti laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) cadangan Lapangan Terbang Baru Antarabangsa Tioman (NTIA) sebelum mengulas tentang projek itu.

Nik Nazmi berkata cadangan projek itu terletak di kawasan marin "penting" yang memerlukan pemerhatian yang cermat dan terperinci.

"Kami akan meneliti laporan EIA sebelum saya boleh ulas dengan lebih lanjut.

"Keutamaan adalah melindungi alam sekitar di Tioman.

"Ia kawasan marin yang sangat penting, jadi kita akan meneliti EIA secara terperinci dan cermat," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian ketika menjawab soalan jika dia akan membenarkan pindaan ke atas status taman marin di Tioman bagi membolehkan lapangan terbang dibina.

Ditanya berkenaan garis masa untuk meneliti laporan itu, dia berkata: "Secepat mungkin".


Baca: EIA: Lapangan terbang Tioman lebih besar, terumbu karang dipindah


Laporan EIA untuk projek tersebut dibuka kepada awam pada 21 Jun lalu. Orang ramai diberi tempoh sehingga 20 Julai untuk menelitinya.

Ia boleh diakses pada pautan di sini, tetapi ia tidak boleh dimuat turun atau dicetak.

Jabatan Alam Sekitar sedang meminta ulasan awam mengenai projek itu melalui borang dalam talian pada pautan di sini. Tarikh akhir penyerahan pada 4 Ogos.

Laporan EIA itu menyatakan projek yang dicadangkan itu akan menyebabkan kerosakan alam sekitar dan kehilangan habitat terhadap ratusan spesies hidupan marin di pulau itu yang sepatutnya menjadi taman laut yang dilindungi.

Ia juga menyatakan penyokong projek telah diberikan kelulusan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada Mac 2022 untuk menjalankan EIA sebelum mendapatkan kelulusan daripada Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut untuk menukar status taman itu.

EIA menyatakan RKK-GPT 2030 menganggap perairan Pulau Tioman sebagai kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Tahap 1. Di bawah garis panduan PlanMalaysia, kawasan Tahap 1 ESA tidak boleh dibangunkan.

Terumbu karang seluas 11.25 hektar dan kawasan substrat (permukaan bagi) hidupan laut seluas 12.36 hektar terletak di dalam sempadan projek, yang akan ditebus guna untuk pembangunan lapangan terbang atau terjejas oleh aktiviti penambakan.

Laporan itu mengenal pasti 121 spesies karang keras dan 11 spesies karang lembut di kawasan itu.

Berdasarkan pelan pemuliharaan laut, syarikat yang terlibat iaituTioman Infra Sdn Bhd mencadangkan kawasan terumbu karang dalam kawasan projek itu ditebus guna dan terumbu karang akan ‘dipindahkan’ ke pulau berdekatan.

Cadangan lapangan terbang itu akan meliputi kawasan seluas 186.36 hektar, di mana 76 peratus - 142.70 hektar - akan melibatkan penambakan tanah.

EIA mendedahkan cadangan lapangan terbang yang lebih besar daripada draf terma rujukan projek terdahulu, yang menyatakan bahawa projek itu akan berkeluasan 94.49 hektar, di mana 65.77 hektar akan melibatkan tanah tambak.

Tioman Infra Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Tioman Hill Resort Sdn Bhd, iaitu 50 peratus dimiliki oleh Kumpulan Berjaya. Selebihnya dibahagikan sama rata antara pelbagai kerabat diraja Pahang melalui Aimvesco Sdn Bhd dan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Pada 23 Jun, kumpulan alam sekitar Reef Check Malaysia telah memulakan petisyen dalam talian bagi membantah terhadap projek itu. Pada masa penulisan, ia telah memperoleh 3,077 tandatangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS