Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Najwan komen PSM: Lembaga Disiplin PKR akan putuskan
Diterbitkan:  Jul 15, 2023 6:46 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Lembaga Disiplin PKR akan memutuskan nasib bekas Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbaur perkauman.

Naib Presiden PKR Amirudin Shari dipetik BH Online berkata demikian ketika menjelaskan dia secara peribadi tidak bersetuju dengan kenyataan yang digunakan Najwan itu.

"Semalam tanpa mengambil masa beliau (Najwan) sudah memohon maaf dan seharusnya saya rasa dia kena beri respon balas atas tindakannya itu.

"Malah beliau juga sudah menghubungi sendiri Setiausaha Agung PSM (Parti Sosialis Malauysia), A Sivarajan mungkin atas kesilapan atau keceluparan beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda #IniMasaKami oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, Amirudin berkata apa yang dilakukan Najwan itu bukan di kawasan awam, sebaliknya di ruangan kumpulan WhatsApp.

"Walaupun saya tak setuju dengan pendirian dan pemikiran sebegitu tetapi ia bukanlah seperti Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) yang buat dalam program ceramah dan mempertahankan diri kononnya kenyataan diputar belit dan akhirnya minta maaf," jelasnya.

Amirudin merujuk kenyataan Sanusi baru-baru ini didakwa menghina Sultan Selangor dalam isu pemilihan menteri besar negeri itu. Menerusi video ucapan yang tular di media sosial, Sanusi dilihat membandingkan Sultan Kedah dan Sultan Selangor, yang didakwanya telah memilih menteri besar yang "cokia".

Dalam pada itu, Najwan memohon maaf selepas tangkap layar kenyataannya dalam kumpulan WhatsApp PKR telah tersebar di media sosial semalam.

Tangkap layar itu memaparkan dia menulis "parti India estet" sebagai respons terhadap berita pengumuman PSM bahawa parti itu meletakkan aktivis sosial Sivaranjani Manickam di Meru untuk pilihan raya Selangor.

Sekurang-kurangnya seorang dalam kumpulan itu turut membalas kenyataan Najwan dengan emoji "menangis sambil ketawa".

Lantaran itu, Setiausaha Agung PSM A Sivarajan (gambar, bawah) menempelak Najwan berhubung tangkap layar berkenaan.

“Jika ini komen anda, Najwan, ini adalah kenyataan perkauman terhadap calon PSM.

“Seorang lagi hipokrit dalam Pakatan Harapan telah terbongkar! Adakah kita memerlukan wakil rakyat seperti itu,” soalnya.

Bagaimanapun, Najwan kemudian mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham dan berkata dia telah menghubungi Sivarajan untuk memohon maaf kepada PSM dan ahlinya.

Dia berikrar untuk lebih berhati-hati dengan kata-katanya pada masa akan datang dan berharap isu itu dapat diselesaikan.

Lihat Komen
ADS