PAS dan PN hari ini memberi bayangan bahawa mereka tidak akan goyah dengan dua pertuduhan berkaitan menghina raja-raja Melayu yang dikaitkan dengan salah seorang pemimpin parti itu, Muhammad Sanusi Md Nor.
Justeru salah seorang pemimpin kanan parti terbabit, Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan Sanusi akan tetap diturunkan sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah nanti.
Bahkan, kata timbalan presiden PAS itu, Sanusi setakat ini kekal sebagai pertaruhan utama dalam usaha PN mempertahankan Kedah daripada dirampas pihak lawan.
“Insya-Allah, sehingga kini beliau masih calon utama. PAS akan kekalkan beliau," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi bagi menghadapi dua pertuduhan menghasut.
Ia membabitkan dakwaan dibuatnya mengenai pelantikan menteri besar Selangor, serta titah Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan kerajaan perpaduan.
Dakwaan Sanusi itu dibuatnya dalam satu ceramah politik di Selayang, Selangor, minggu lepas.
Mengaku tak bersalah
Dia sudah mengutus surat memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendakwa kenyataannya diputar belit.
Bagaimanapun semalam Sultan Sharafuddin mendakwa kes berkenaan "belum selesai". Bahkan baginda menzahirkan penghargaan pihak istana kepada pelbagai pihak yang membuat laporan polis ke atas Sanusi.
Sebelum itu baginda memanggil Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi serta Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Sanusi, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di kedua-dua mahkamah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Nor Rajiah Mat Zin, dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan tersebut mengundang persoalan sama ada Sanusi masih akan diturunkan atau tidak sebagai salah seorang calon PN dalam PRN yang dijadual berlangsung pada 12 Ogos ini.
Ia juga membuka tanda tanya mengenai kedudukan Sanusi sebagai calon menteri besar Kedah.
Menurut Tuan Ibrahim pendakwaan ke atas menteri besar sementara Kedah itu memberi kelebihan kepada PN.
“Tindakan ini menyemarakkan lagi kemarahan rakyat kepada PH dan BN, dan ini boleh dilihat kepada pelbagai komentar pembaca media sosial,” katanya ringkas.
