Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Madius ingatkan tentang 'semburan bisa' Mahathir
Diterbitkan:  Jul 24, 2023 5:02 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Membandingkan Dr Mahathir Mohamad dengan Steve Bannon, propagandis ultra kanan AS yang mencipta teori konspirasi untuk menjadikan Donald Trump dipilih sebagai presiden AS, Wilfred Madius Tangau menuduh bekas perdana menteri itu "menyemburkan bisanya."

Oleh demikian, ahli parlimen Tuaran itu (gambar, atas) menggesa para pengundi untuk menjadikan Dr Mahathir 'benar-benar bersara.'

Menurutnya, Mahathir yang hilang wang deposit pada pilihan raya umum lalu, telah berubah menjadi "Bannon Malaysia dalam keadaan terdesak untuk menegakkan politiknya yang tidak lagi relevan."

“Kita boleh menghantar Mahathir bersara kekal jika 60 peratus pemilih yang layak mengundi parti kerajaan perpaduan dan 26 peratus pemilih yang tidak mengundi pada PRU15 (pilihan raya umum ke-15) bergabung tenaga untuk mengundi kebencian yang disebarkan oleh beliau dan rakan-rakan fanatiknya seperti menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Pengundi yang cintakan Malaysia di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, pada 12 Ogos, tolong ingat 'bisa' Mahathir itu dan keluar mengundi untuk mengalahkan ekstremisme. Hantar Bannon kita itu ke alam persaraan kekal,” tambahnya.

Madius juga memetik surat Mahathir yang dikatakan bertarikh 20 Julai yang diterbitkan dalam blog wartawan veteran A Kadir Jasin.

Dalam surat itu, Mahathir memberi amaran bahawa orang Cina Malaysia boleh menjadi perdana menteri menjelang PRU17.

Bagaimanapun, Madius menyifatkan perkara ini tidak lebih daripada momokan untuk menimbulkan ketakutan.

“Bagaimana hal itu boleh berlaku apabila orang Cina Malaysia cuma membentuk kurang daripada satu perlima penduduk Malaysia dan jumlah ahli parlimen kurang daripada satu per enam dan dihina sebagai ‘pendatang’ setiap hari oleh Mahathir dan gerombolannya?

“Kebenaran tidak pernah penting kepada Bannons di seluruh dunia. Hanya ketakutan dan kebencian yang penting.

“Mereka mahu menakutkan separuh daripada penduduk supaya takut dan membenci separuh lagi penduduk. Jika separuh yang dibenci itu berputus asa dan berhenti (melakukan apa-apa), Bannons akan menang sepenuhnya,” tambahnya.

Madius mengingatkan pengundi tentang kata-kata negarawan British Edmund Burke bahawa "satu-satunya perkara yang diperlukan untuk kejahatan menang ialah orang baik tidak melakukan apa-apa."

“Mari kita anggap setiap bisa yang disemburkan oleh Mahathir dan gerombolannya sebagai seruan untuk setiap daripada kita pergi dan mengundi ekstremisme, kebencian dan pembohongan,” tambahnya.

Mahathir, yang bekerjasama dengan PH pada PRU14, kini menyokong PN, gabungan yang diketuai Muhyiddin Yassin, yang pernah disifatkannya sebagai pengkhianat.

Ahli politik berusia 98 tahun itu bercakap pada ceramah PAS di Kelantan minggu lepas, menyeru pengundi Melayu bersatu untuk PN menyapu bersih semua enam negeri dalam pilihan raya akan datang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS