PAS sekali lagi menghulurkan salam perdamaian dengan dua bekas ahli parti itu yang bertanding sebagai calon bebas di dua kawasan dewan undangan negeri (DUN) di Langkawi.

Menekankan bahawa peluang untuk mereka masih terbuka, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata dia juga memberi jaminan pemecatan ke atas dua calon terbabit akan dibatalkan.

"Saya masih beri peluang dan jaminan, mereka tidak akan dikenakan tindakan (pecat), dengan syarat kedua-duanya perlu segera buat pengisytiharan (menarik diri) dan meminta pengundi tidak lagi mengundi mereka," katanya yang dipetik Harian Metro semasa berceramah di Kampung Kelibang, Langkawi malam tadi.

Persaingan bagi kerusi DUN Kuah dan Ayer Hangat menjadi perhatian apabila ia turut disertai dua bekas pemimpin pertengahan PAS di Langkawi.

Di Kuah perebutan kerusi tersebut turut disertai Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad, menyebabkan pertembungan di situ menjadi tiga penjuru.

Selain Mazlan, calon utama yang bertanding ialah Ahmad Fauzi Chik yang mewakili PH-BN, serta Amar Pared Mahamud (Bersatu-PN).

Di DUN Ayer Hangat, ia melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu Shamsilah Siru (Bersatu-PN), Hisham Suhaily Othman (BN-PH) serta dua calon bebas, Zulfadli Mohd Yusoff serta Safwan Hanif Shafie.

Safwan Hanif merupakan bendahari Pemuda PAS Langkawi.

Hanya ada satu calon PN

Penyertaan Mazlan dan Safwan dibuat ekoran rasa tidak puas hati mereka dengan pembahagian kerusi yang menyaksikan PN diwakili oleh calon Bersatu di kawasan terbabit.

Mengikut perlembagaan PAS, seeorang ahli parti yang bertanding sebagai calon bebas atau mengingkari arahan pimpinan boleh dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipecat atau digantung keanggotaannya.

Turut boleh dikenakan tindakan sama ialah seseorang ahli yang menjadi pencadang, penyokong serta wakil calon.

Takiyuddin berkata PAS berpendapat kemungkinan penyertaan Mazlan dan Safwan Hanif sebagai calon bebas bagi pilihan raya negeri Sabtu ini dibuat tanpa berfikir panjang.

"Jadi (tawaran terbaru) ini peluang kedua bagi mereka," katanya.

Mazlan Ahmad (tengah) pada 2018

Untuk rekod pada 1 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan PAS cuba 'memujuk' individu yang terbabit dengan memberi mereka pilihan bagi mengelak dipecat.

Pilihan itu, kata Takiyuddin dalam kenyataan pada hari tersebut, ialah mengisytiharkan menarik diri daripada menjadi calon bebas serta meminta para penyokong masing-masing menyokong calon PN.

Dalam PRU ke-14 pada 2018 Mazlan merupakan calon PAS bagi kerusi Kuah dan dia berada di kedudukan ketiga daripada empat calon yang bertanding.

Kerusi tersebut dimenangi calon Bersatu (yang ketika itu sebahagian daripada PH), Mohd Firdaus Ahmad, dengan kelebihan 2,452 undi.

Calon Bersatu-PH, Juhari Bulat, turut memenangi kerusi Ayer Hangat dengan majoriti 1,532 undi mengalahkan dua calon yang lain, termasuk wakil PAS, Azlina Azinan, yang berada di kedudukan ketiga.

Hamzah Zainudin

Sementara itu Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin yang turut hadir di majlis ceramah malam tadi berkata dakwaan bahawa Mazlan dan Safwan Hanif mendapat restu pengarah pilihan raya parti itu, Muhammad Sanusi Md Nor, untuk bertanding adalah tidak benar.

"Sebelum mai (datang) Langkawi, saya dan Takiyuddin berjumpa dengan Menteri Besar Kedah di Alor Setar, dan dia menafikan dan tidak sesekali memberi restu kepada kedua-dua calon bebas berkenaan.

"Kami juga sepakat, hanya satu calon sahaja dari PN yang bertanding bagi kerusi DUN Kuah dan Ayer Hangat, manakala calon lain tiada kaitan dengan PN," katanya.