PAS 'pujuk' calon bebas, 6 yang lain di Kuah, Ayer Hangat
PAS kelihatan membuka sedikit ruang kepada tujuh daripada lapan ahli PAS Kedah yang berdepan tindakan disiplin ekoran pembabitan mereka dalam tindakan menyanggah keputusan pemimpin.
Dalam kenyataan medianya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata berdasarkan peraturan yang diketahui umum, parti itu tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan peruntukan sedia ada.
Kecuali individu yang sudah mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan PAS, Takiyuddin berkata, masih ada cara untuk ahli yang lain cuba mengelak daripada dikenakan tindakan - seperti digantung keahlian atau dipecat.
"Mereka yang berkenaan (kecuali yang telah keluar parti) turut diberikan pilihan untuk membuat perisytiharan menarik diri daripada pertandingan serta meminta para penyokong mereka menyokong calon-calon PN di kedua-dua DUN terbabit," katanya.
Isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PN menyaksikan beberapa pihak menyatakan rasa kurang senang dengan arahan pucuk pimpinan PAS.
Selain kemelut membabitkan Presiden Gerakan Dominic Lau dan PAS di Bayan Lepas, Pulau Pinang, keadaan di Kedah menyaksikan dua pemimpin parti peringkat akar umbi menongkah arus apabila menjadi calon bebas.
Ia membabitkan Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kuah, manakala Timbalan Ketua Pemuda PAS Langkawi Safwan Hanif Shafie menjadi calon di Ayer Hangat.
Turut berdepan dengan tindakan disiplin ialah masing-masing tiga individu lain membabitkan wakil calon, pencadang dan penyokong bagi setiap calon.
Bukan pemutus hubungan baik
Takiyuddin berkata semalam Pejabat Setiausaha Agung PAS menerima surat daripada Mazlan dan Safwan Hanif dengan seorang daripadanya memaklumkan sudah meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.
Pejabatnya juga, kata Takiyuddin, menerima surat peletakan jawatan daripada enam ahli PAS yang menjadi pencadang, penyokong dan wakil bagi calon-calon terbabit.
"Seorang ahli yang menjadi calon bebas itu pula mengisytiharkan keluar parti," katanya.
Menurut Takiyuddin jika tawaran yang dikemukakan PAS - iaitu menarik diri daripada menjadi calon dan mengumumkan sokongan kepada PN - diterima tujuh individu terbabit, ia boleh menjadi faktor mitigasi terhadap apa-apa pertuduhan tatatertib yang boleh dibuat nanti.
Dalam pada itu, PAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli terbabit atas penglibatan, sumbangan, jasa baik dan pengorbanan yang diberikan kepada parti selama ini dengan harapan ia diterima sebagai ibadah dan amal soleh di sisi Allah SWT.
"PAS percaya perbezaan pandangan dan keutamaan pada detik atau berkait isu-isu tertentu dan khusus seperti ini bukanlah pemutus hubungan baik dan persaudaraan yang terjalin sejak sekian lama antara individu terbabit dengan parti dan ahli-ahli yang lain," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/713c89338cc275501549468b160ad1b0.jpg)
