Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuota Bumiputera: MCA soal pendirian DAP dalam Deklarasi Setapak
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 5:51 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Sayap Pemuda MCA hari ini mendesak DAP menjelaskan pendirian parti itu mengenai sistem kuota Bumiputera dan sama ada masih mempertahankan Deklarasi Setapak yang dilancarkannya pada tahun 1967 atau sebaliknya.

Ini susulan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa sistem kuota dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar Bumiputera dan Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho berkata sekiranya DAP telah menarik balik Deklarasi Setapak, mereka wajib memohon maaf kepada para pengundi dan penyokong mereka atas kesilapan yang dilakukan dalam meraih sokongan.

"Jika diimbau kembali apa yang berlaku sebelum ini, rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina dihasut membenci MCA dengan menjadikan isu kuota ini sebagai 'senjata' utama parti lawan pada ketika itu.

"Sedangkan, MCA sekadar mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara serta memelihara keharmonian masyarakat sejak negara belum mencapai kemerdekaan sehingga kini.

"Sekarang, kata-kata perdana menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan adalah konsisten dengan kata-kata perdana menteri sebelumnya, di mana kuota ini bertujuan mengekalkan keharmonian dan memastikan keadilan, dan pada masa sama juga menekankan bahawa kuota tersebut tidak menafikan peluang kepada pelajar bangsa lain yang benar-benar layak.

"Oleh itu, persoalannya sekarang adakah DAP dapat menerima penjelasan perdana menteri, atau adakah mereka akan meneruskan dasar perjuangan untuk "menentang pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok Bumiputera dan bukan Bumiputera" sepertimana yang terkandung dalam Deklarasi Setapak, yang sehingga kini masih boleh diakses di laman web DAP," katanya.

Anwar baru-baru ini berkata sekiranya sistem kuota tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan jumlah pelajar Melayu dan Bumiputera di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.

Katanya, beberapa prinsip dalam perlembagaan negara memberi jaminan dan peluang supaya pelajar Melayu dan Bumiputera diberikan tempat di IPT.

Kenyataan Anwar itu sekali gus dilihat meletakkan DAP dalam situasi sukar memandangkan parti itu sejak sekian lama memperjuangkan sistem meritokrasi.

Deklarasi Setapak diwujudkan pada 1967 yang menyebut antaranya:

“Dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang”.

Dasar deklarasi itu juga menyentuh berkenaan polisi berkaitan budaya dan pendidikan, menekankan bahawa semangat Perlembagaan Persekutuan mestilah dihormati; dan sementara menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, hak untuk menggunakan bahasa lain juga mestilah dipertahankan.

‘Cara PM jawab soalan pelajar mengejutkan’

Sementara itu, Ryan mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana menjelaskan isu mengenai sistem kuota Bumiputera dalam pendidikan, dan mengapa ia tidak boleh digantikan sepenuhnya dengan sistem meritokrasi.

Namun, katanya, cara perdana menteri menjawab soalan yang diajukan oleh seorang pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas dalam Temu Anwar : Bicara Pendidikan Madani pada Sabtu lepas mengejutkan ramai pihak.

"Ini kerana rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda amat teruja dan menaruh harapan tinggi terhadap Anwar sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, reformis serta pencetus kepada kewujudan Malaysia Madani yang mementingkan dasar dan inisiatif bersifat inklusif untuk segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa.

"Apa yang berlaku Sabtu lepas seolah-olah menunjukkan ia bukan wajah sebenar Anwar yang suka mendengar suara rakyat tanpa mengira peringkat umur, pemimpin yang terbuka dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja seiring semangat demokrasi serta insan yang berfikiran jauh ke hadapan demi membela nasib masyarakat majmuk di Malaysia.

"Pemuda MCA amat yakin perdana menteri mampu menjawab dengan lebih tenang, mesra dan profesional tanpa perlu bertindak seolah-olah mahu menjadikan pelajar tersebut sebagai musuh politik," katanya.

Dalam program berkenaan, Anwar menjadi sasaran kritikan beberapa pihak mengenai cara dia menjawab soalan pelajar tersebut yang bertanya apakah kerajaan bercadang menghapuskan sistem kuota Bumiputera dalam pendidikan.

Netizen melabelkan kelakuan Anwar itu sebagai "pembuli" sehingga menenggelamkan soalan pelajar itu yang bukan bersifat politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS