Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar jadi sasaran kritikan kerana didakwa buli pelajar
Diterbitkan:  Aug 6, 2023 4:41 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi sasaran kritikan sekali lagi kerana kelakuannya terhadap seorang pelajar remaja, kali ini dengan netizen melabelnya sebagai "pembuli".

Menurut MalaysiaNow, pengguna media sosial membidas jawapan Anwar kepada seorang remaja yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menghapuskan sistem kuota bumiputera.

Reaksi perdana menteri itu dikatakan sebagai buli dan menenggelamkan soalan pelajar itu yang bukan bersifat politik.

Semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas semalam, pelajar itu meminta dia diberi masa untuk menerangkan beberapa konteks sebelum mengemukakan soalannya.

"Bilakah sistem kuota akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi? Saya dan kawan-kawan saya, serta kawan-kawan di luar yang tidak dikenali terkesan daripada sistem kuota ini hanya kerana mereka tidak memiliki status Bumiputera," soalnya, seperti dilapor Malaysia Now.

‘PH, BN akan kalah semua pilihan raya’

Bagaimanapun, Anwar memotongnya sebelum dia menjelaskan dan kemudian berkata dia sudah menjawab soalan yang sama sebelum ini.

Selepas itu, dia berkata pelajar itu sepatutnya mengelak daripada membincangkan sistem kuota dan sebaliknya perlu menunjukkan kes-kes khusus orang bukan Melayu yang dinafikan kemasukan matrikulasi, membolehkan kerajaan menangani keadaan itu.

Anwar juga didakwa mengkritik pelajar itu dengan menyifatkannya tidak adil terhadap pelajar bumiputera di sekolah luar bandar.

Akhirnya, dia mengalihkan jawapannya kepada politik dengan menyatakan pemansuhan kuota bumiputera di institusi pengajian tinggi akan menyebabkan Pakatan Harapan (PH) dan BN menghadapi kekalahan dalam semua pilihan raya akan datang.

Menurut Free Malaysia Today, pengerusi PH itu seterusnya menekankan bahawa menyokong pemansuhan sistem itu akan "mencetuskan kekacauan di negara ini."

“Anwar kata hari ini batalkan sistem kuota. Kami akan kalah semua pilihan raya di negara ini dan anda akan lebih menderita di negara ini. Itu kena faham.

"(Negara akan) diperintah PAS dan Bersatu, kena faham. Tapi, janganlah umpanya nak suruh batal sistem kuota ini. Akan berlaku pergolakan dalam negara…ini persefahaman dibuat sejak sekian lama,” katanya seperti dipetik FMT.

Bulan lalu, Anwar menghadiri sesi townhall di Nilai, Negeri Sembilan, di mana dia menjawab soalan pelajar Tingkatan Enam dengan memujinya kerana petah berkata-kata dan berseloroh dengan berkata dia akan meminta nombornya jika dia masih muda.

Dia dikecam kerana kenyataannya, dengan beberapa ahli parlimen menganggap kata-katanya tidak wajar dan seksis.

Lihat Komen
ADS