Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu REE: Sanusi heret Saifuddin ke mahkamah kerana fitnah

Menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berhubung kenyataan yang mengaitkannya dengan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Pasukan peguam pemimpin PAS itu memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu bagi menuntut Setiausaha Agung PKR itu membayar ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Sanusi turut menyaman Saifuddin berhubung dakwaan mengunakan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM1.6 billion untuk tujuan yang bertentangan dengan undang-undang.

Saman sivil berkenaan berhubung kenyataan Saifuddin yang dibuat dua kali sebelum ini. Pertama semasa sidang media di sebuah majlis anjuran KDN di ibu pejabat polis kontinjen Pulau Pinang pada 14 Julai, dan kedua diucapkan semasa program Jelajah Perpaduan Madani di Guar Chempedak, Yan, Kedah, pada 15 Julai.

Kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Julai itu mengulas mengenai isu peruntukan untuk Marris manakala kenyataan bertarikh 15 Julai adalah mengenai dakwaan kecurian REE.

Menurut pernyataan tuntutan tersebut, Sanusi mendakwa kedua-dua kenyataan itu mencemarkan nama baiknya sebagai ahli politik, mencetuskan persepsi negatif orang ramai terhadapnya sebagai tokoh politik yang melaksanakan prinsip Islam dalam pentadbiran negeri Kedah, dan mengganggu tumpuannya terhadap tugas hariannya sebagai menteri besar.

Sanusi mendakwa kenyataan itu dibuat secara berniat jahat berikutan pilihan raya negeri yang sedang berlangsung di Kedah dan lima negeri lain yang dijadual Sabtu ini.

Melalui saman sivil itu, plaintif juga memohon defendan membuat permohonan maaf secara terbuka untuk disiarkan oleh akhbar tempatan serta portal berita dalam talian dan stesen televisyen satelit.

Pada 20 Julai lalu, Saifuddin dilaporkan berkata pendedahan mengenai kecurian REE bukan bertujuan untuk mencemarkan imej Sanusi sebaliknya menunjukkan wujudnya isu penyelewengan dalam pentadbiran.

Enam hari kemudian, sebagai menjawab surat tuntutan Sanusi, Saifuddin mempertahankan dakwaannya mengenai isu kecurian nadir bumi berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Saifuddi, Navpreet Singh mengesahkan mereka telah menerima salinan saman daripada Sanusi awal hari ini.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook hari ini, Sanusi menyiarkan laporan Jabatan Perhutanan Kedah mengenai perlombongan REE di Sik - yang ditulis pada 18 Julai.

Laporan itu menyimpulkan bahawa perlombongan REE secara haram di Sik telah dihentikan, dan semua peralatan yang berkaitan dengan operasi tersebut telah dimusnahkan.

Lihat Komen
ADS